Rakuten Trade beri saranan 'beli' dengan TP 37 sen terhadap Yew Lee | DagangNews Skip to main content

Rakuten Trade beri saranan 'beli' dengan TP 37 sen terhadap Yew Lee

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Jun - Rakuten Trade memberi saranan 'beli' terhadap Yew Lee Pacific Group Bhd. (Yew Lee) yang baru disenaraikan semalam dengan harga sasaran (TP) pada 37 sen. 

 

Yew Lee memulakan dagangan sahamnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia untuk mengumpul RM37.27 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO).

 

Pengeluar yang terbabit dalam pembuatan berus industri serta perdagangan perkakasan dan alat ganti mesin industri itu memulakan dagangan pada harga 28.5 sen sesaham, tinggi sedikit berbanding harga IPO iaitu 28 sen.

 

Firma itu mengunjurkan keuntungan bersih Yew Lee dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 10.6% daripada RM14 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).

 

Katanya, pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM1.2 juta selepas mengambil kira sebahagian daripada perbelanjaan penyenaraian, kos bahan mentah yang lebih tinggi dan jualan yang lebih rendah mengikut musim.

 

"Namun, kami percaya, keseluruhan jualannya akan meningkat pada suku akan datang disumbangkan terutamanya menerusi aktiviti pembuatan yang lebih tinggi daripada pasaran operasinya.

 

"Malah, kedudukan lembaran imbangannya selepas penyenaraian juga kekal teguh dengan tunai bersih berjumlah RM44.8 juta," jelasnya dalam nota kajian.

 

Baca : Yew Lee mulakan dagangan hari pertama di Bursa Malaysia dengan 28.5 sen

 

Pengerusinya, Mahdzir Osman, semalam berkata, daripada RM37.27 juta modal yang dijana, sejumlah RM10.9 juta akan digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan tambahan manakala RM7.3 juta untuk pembinaan kemudahan gudang dan bangunan pejabat baharu di Pusing, Perak.

 

Selebihnya, sebanyak RM1.8 juta digunakan untuk pengubahsuaian pejabat baharu di Klang Selangor, RM8.9 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM4.57 juta untuk keperluan modal kerja dan RM3.8 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Yew Lee pada masa ini mempunyai penguasaan pasaran dianggarkan sebanyak 12.4% daripada jumlah saiz industri berus industri di Malaysia sebanyak RM254.5 juta pada 2021, berdasarkan hasil syarikat daripada segmen pembuatan berus industri sebanyak RM31.6 juta semasa tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

 

Syarikat bercadang untuk mengautomasikan lebih banyak operasinya untuk mengurangkan pergantungan kepada buruh dan berhasrat untuk meluaskan bahagian pasaran dalam perdagangan alat ganti jentera di kawasan tengah Semenanjung Malaysia serta mempunyai kehadiran yang lebih besar di Indonesia dan Thailand melalui Yew Lee Indonesia dan Yew Lee Thailand, kedua-duanya ditubuhkan pada 2019. 

 

Menurut Rakuten Trade, Yew Lee telah memanfaatkan permintaan sarung tangan getah ketika tempoh pandemik selama 2 tahun.

 

Pada 2021, pembuat sarung tangan getah menyumbang sebanyak 85.4% dengan Top Glove Corp. Bhd. merupakan penyumbang terbesar sekitar 32%.

 

"Pengurusan juga menyatakan tempahan daripada pengeluar sarung tangan getah masih kekal kukuh pada masa akan datang," katanya.

 

Pada masa sama, tambahnya, Yew Lee juga merancang untuk meluaskan pangkalan pelanggannya seperti pengkuari, semikonduktor dan pembuat kaca, yang mampu menawarkan pembuatan berus kepada segmen ini untuk margin yang lebih baik. - DagangNews.com