Rakuten Trade kekal saranan 'beli' terhadap Southern Score Builders dengan TP 23 sen | DagangNews Skip to main content

Rakuten Trade kekal saranan 'beli' terhadap Southern Score Builders dengan TP 23 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - Rakuten Trade mengekalkan saranan 'beli' terhadap Southern Score Builders Berhad dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu 23 sen berbanding 19 sen sebelum ini.

 

Firma itu berkata, saranan itu dibuat selepas kumpulan itu melengkapkan proses penyusunan semula menerusi pengambilalihan Southern Score Sdn. Bhd. (SSBB) dengan pertimbangan RM252 juta dengan terbitan 1.68 bilion saham baharu.

 

Pemerolehan itu hadir dengan jaminan keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM80 juta dalam tempoh tiga tahun bermula 2022 hingga 2024.

 

"TP yang dibuat itu adalah berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 18x yang merupakan penyenaraian saham baharu kerana model perniagaannya yang unik.

 

"Berbanding syarikat pembinaan lain, kebanyakannya terlibat dengan pembinaan kediaman dan infrastruktur, model perniagaan SSBB pada dasarnya melibatkan penyediaan perkhidmatan pengurusan pembinaan terutamanya untuk bangunan kediaman bertingkat.

 

"Sebagai kontraktor pembinaan reka bentuk dan bina pasang siap (turnkey) dan kontraktor utama, SSBB berjaya mencatatkan margin kasar yang lebih tinggi sebanyak 17.14% kerana keperluan modal yang rendah melalui model perniagaan pengurusan projek pembinaannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu dipimpin oleh pasukan pengurusan yang berpengalaman dan dari segi teknikal hanya 38 kakitangan, SSSB menyasarkan untuk mengoptimumkan produktiviti dan kecekapan projek pembinaannya.

 

Katanya, penggunaan sistem bangunan industri (IBS) dalam kebanyakan projek pembangunan dan pembinaannya yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan menambah baik kualiti projeknya.


"Selain itu, dengan memanfaatkan model penyampaian yang ringan dan fleksibel, SSSB mampu menawarkan proses pembinaan yang standard dan cekap kos yang membolehkan skalabiliti dan fleksibiliti dengan pendedahan yang lebih rendah kepada kitaran dan harga rumah," katanya. - DagangNews.com