Rakuten Trade positif terhadap prospek pertumbuhan ITMAX | DagangNews Skip to main content

Rakuten Trade positif terhadap prospek pertumbuhan ITMAX

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - Rakuten Trade Research positif terhadap prospek pertumbuhan ITMAX System Berhad didorong potensi kumpulan meneroka peluang baharu bagi baki 13 majlis bandaraya di Johor.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kejayaan meraih kontrak bersama Majlis Bandaraya Pasir Gudang meningkatkan kadar tempahan yang belum dibilkan sebanyak RM79.62 juta kepada satu lagi rekod tertinggi iaitu RM903.5 juta.

 

"Keyakinan ini adalah berdasarkan keupayaan kumpulan bagi menggambarkan corak pertumbuhan perndapatan berbilang tahun selepas kejayaan meraih kontrak di Johor dan berpotensi ke negeri-negeri lain.

 

"Kumpulan itu memberikan kepastian terhadap perniagaan mereka berdasarkan aliran hasil dan keuntungan berulang.

 

"Kejayaan ITMAX di seluruh Johor meningkatkan keyakinan kami bahawa mereka akan menggunakan kaedah sama untuk ke negeri lain seperti Pulau Pinang, Sabah dan Selangor," katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, berjaya memperoleh kontrak RM79.6 juta daripada Majlis Bandaraya Pasir Gudang untuk mencipta, memasang dan menyelenggara pusat arahan pintar, sistem kamera litar tertutup berkuasa AI, dan lampu isyarat pintar di daerah itu.

 

Ia merupakan kontrak bandar pintar ketiga mereka di Johor, dan mereka merancang untuk mengembangkan lagi di dalam negeri.

 

Firma penyelidikan itu berkata, menerusi kontrak itu kumpulan itu dijangka meraih hasil dan untung bersih masing-masing sebanyak RM5.11 juta dan RM1.9 juta dalam tempoh kontrak, dengan margin dijangka serupa dengan yang terdahulu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.06 sesaham," katanya. - DagangNews.com