Rakuten Trade unjur Kim Teck Cheong catat untung bersih RM22.2 juta, RM24.4 juta pada FY24 dan FY25 | DagangNews Skip to main content

Rakuten Trade unjur Kim Teck Cheong catat untung bersih RM22.2 juta, RM24.4 juta pada FY24 dan FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jun - Rakuten Trade Research mengunjurkan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM22.2 juta dan RM24.4 juta bagi FY24 dan FY25.

 

Firma itu berkata, unjuran itu adalah berdasarkan pelan pengembangan perniagaan mereka termasuk pembinaan dua kilang pembuatan baharu di Kuching, dan Balikpapan selain menambah lebih banyak ruang gudang dan trak.

 

Katanya, kumpulan itu sedang mengenal pasti tanah untuk membina kilang pembuatan di Kuching dan Balikpapan kerana sifat produk bakeri yang mudah rosak, dengan jangka hayat yang singkat.

 

"Syarikat itu melihat potensi pertumbuhan yang ketara untuk produk bakerinya, terutamanya di Indonesia, kerana segmen produk bakeri menyumbang 2.6% daripada jumlah pendapatan kumpulan pada suku ketiga 2023.

 

"Setiap kilang akan mempunyai anggaran ruang lantai pembuatan seluas 10,000 kaki persegi dan disasar beroperasi bermula Julai 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Buat masa sekarang, kumpulan itu memiliki dan menyewa 13 kilang dengan jumlah keluasan 350,000 kaki persegi dengan penggunaan adalah sekitar 85%.

 

Kumpulan itu juga merancang untuk menambah 140,000 kaki persegi ruang gudang dalam tempoh dua tahun akan datang dan 30 hingga 40 trak lagi kepada menjadikan jumlah 200 trak, menjelang akhir 2023.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu dijangka melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM21.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023, dengan hasil RM738 juta.

 

Katanya, kumpulan itu menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan selepas mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 62% dari 2019 hingga 2022.

 

"Kumpulan itu telah mewujudkan rangkaian pengedaran yang kukuh meliputi jenama seperti Procter & Gamble, L'Oreal, Nestle, Danone, Kimberly-Clark dan banyak lagi, dengan 29,000 unit penyimpanan saham di bawah portfolionya.

 

"Selain itu, mereka mengeluarkan dan mengedarkan produk bakerinya sendiri di bawah jenama Creamos selain memegang pengedaran eksklusif roti Gardenia di Malaysia Timur dan Indonesia, sebuah usaha niaga yang bermula pada 2020," katanya. - DagangNews.com