SHAH ALAM 21 Ogos - Rakyat Malaysia teurs memberi sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan mahu beliau diberi peluang kekal menerajui negara.
Rata-rata pengunjung yang ditemui DagangNews di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor yang berlangsung selama tiga hari sejak kelmarin di pekarangan Stadium Shah Alam menyifatkan, Ismail Sabri berjaya memastikan kestabilan politik secara berterusan di negara ini.
Mereka juga memaklumkan pentadbiran Perdana Menteri ketika ini disenangi semua lapisan masyarakat, termasuk JUGA parti pembangkang.
Selain itu, orang ramai mahu Ismail Sabri terus menumpukan isu kebajikan rakyat, menangani kos sara hidup dan pemulihan ekonomi negara yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Seorang konsultan, Shuhaimi Wahab, 57, berkata, Ismail Sabri merupakan seorang pemerintah untuk semua rakyat Malaysia, bukannya pemimpin untuk parti politik semata-mata sahaja.
"Hari ini kita melihat Perdana Menteri berjaya 'meneutralkan' keadaan suasana politik yang tidak berapa stabil sejak tahun kebelakangan ini. Beliau berjaya menambat hati rakyat walaupun baru setahun menjadi pemimpin negara.
"Perkhidmatan beliau adalah tanpa mengira kaum serta usia dan saya menganggap beliau pemerintah untuk semua, bukannya untuk parti politik. Saya berharap Ismail Sabri terus kekal menjadi Perdana Menteri," katanya.
Hari ini, genap setahun Ismail Sabri, 62, menerajui kerajaan Keluarga Malaysia.
Pada 21 Ogos 2021, beliau mengambil alih jawatan nombor satu negara selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Muhamad Dzuhair, 29, pula menyifatkan Ismail Sabri sebagai seorang pemimpin yang mempunyai imej bersih dan berjiwa tenang.
"Beliau tidak cepat melatah atas apa jua serangan atau provokasi segelintir pihak. Beliau tenang menangkis segala dakwaan atau pelbagai fitnah pihak tidak bertanggungjawab. Beliau juga kurang terlibat dengan kontroversi," katanya.
Selain itu katanya, Ismail Sabri berjaya menambat hati golongan belia dan aktif menzahirkan apa jua ucapan atau penghargaan kepada semua pihak melalui sosial medianya.
Penjawat awam, Mastura Mokhtar, 54, berkata, beliau terharu Perdana Menteri sentiasa menghargai dan pengorbanan pelbagai pihaknya khususnya barisan hadapan.
"Beliau merupakan seorang pemimpin yang mendengar denyut nadi rakyat, apabila berlaku bencana dan sebagainya, pelbagai jenis bentuk bantuan diberikan demi memastikan kebajikan rakyat dibela. Tidak dilupakan bantuan untuk petugas barisan hadapan yang sentiasa berkorban melindungi rakyat dan negara," katanya.
Katanya, konsep Keluarga Malaysia disokong rakyat kerana ia mempunyai semangat kekeluargaan yang harmoni tanpa mengira perbezaan kaum. - DagangNews.com