Rakyat Malaysia paling bimbang hilang kerja - EMIR Research | DagangNews Skip to main content

Rakyat Malaysia paling bimbang hilang kerja - EMIR Research

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Hilang pekerjaan bukan suatu perkara yang mudah untuk diterima oleh semua orang, tambahan pula apabila ia berlaku disebabkan krisis ekonomi. 

 

Sehubungan itu, kaji selidik yang dijalankan EMIR Research Sdn. Bhd. ke atas 2,096 responden menunjukkan 7 perkara paling membimbangkan rakyat Malaysia ketika berdepan dengan pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi bukan sahaja di negara ini tetapi seluruh dunia.

 

Menurut badan pemikir bebas itu, sebanyak 85% responden paling bimbang jika mereka hilang pekerjaan manakala 81% pula bimbang jika mereka menerima ancaman jangkitan daripada pendatang asing. 

 

Selain itu, 80% risau dengan kualiti pendidikan kerana bergantung kepada norma baharu yang mana ia memerlukan kemudahan internet dan jalur lebar di rumah supaya anak-anak mereka boleh mendapat pendidikan yang berkualiti. 

 

"Ia juga menunjukkan 80% rakyat bimbang pendapatan tidak mencukupi, kualiti penjagaan kesihatan disebabkan COVID-19 (75%), tahap kesihatan mental (72%) dan tempoh menunggu berjumpa doktor (71%," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini. 

Kaji selidik yang dijalankan EMIR Research bagi suku ketiga 2020.
Kaji selidik yang dijalankan EMIR Research pada suku ketiga 2020. 


  
Kajian itu membabitkan responden semua rakyat di negara ini termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. 

 

Antara objektif kaji selidik itu adalah bagi menggambarkan kerisauan rakyat dengan mengesan perubahan dalam indeks kebimbangan nasional, menilai harapan rakyat dan terhadap kerajaan memerintah. 

 

Di samping itu, ia juga bagi mengesan perubahan dalam indeks kepuasan kerajaan dalam kalangan penduduk pelbagai komuniti dan status sosioekonomi. 

 

Daripada kajian itu, ketidakstabilan politik semasa, turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat ekoran pertukaran kerajaan pada Mac lalu, ketika peringkat awal penularan wabak COVID-19. 

 

"Secara dasarnya, sebanyak 88% bersetuju supaya kerajaan dapat menangani isu berkaitan harga barang keperluan asas diikuti lebih daripada 70% reponden berharap isu bekalan dan monopoli beras akan diteliti," katanya. 

 

Mengenai isu rumah mampu milik pula, sebanyak 85.3% berharap kerajaan dapat menguruskan masalah bekalan dalam sektor perumahan manakala 82% mahu skim sewa perumahan diperluas sebagai alternatif untuk membeli rumah.

 

"Kajian ini juga mendapati, 85% rakyat Malaysia bersetuju dengan prosedur pinjaman perumahan yang lebih sederhana dan tidak rumit," katanya. - DagangNews.com