Rakyat Malaysia terperangkap dengan serangan persepsi burukkan negara - Noor Azlan | DagangNews Skip to main content

Rakyat Malaysia terperangkap dengan serangan persepsi burukkan negara - Noor Azlan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - Rakyat Malaysia dilihat hilang keyakinan dan seolah-olah lebih suka memburukkan negara sendiri, menurut Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Prof. Tan Sri Noor Azlan Ghazali.

 

Noor Azlan menerusi hantaran di Facebooknya berkata, melalui pengamatan beliau di media sosial, rakyat merasakan Malaysia semakin merudum dalam banyak konteks.

 

"Lebih buruk, (mereka) seolah membenci negara sendiri. Terperangkap dengan serangan persepsi yang memburukkan negara sendiri. 

 

"Maaf. Itu yang sering dilaung dan dipaparkan. Bangun rakyat Malaysia. Kita ada kekuatan. 

 

"Ini negara kita. Yakin dengan keupayaan kita. Kalau dunia menilai kita lebih baik, walaupun bukan terbaik di dunia, kita mempunyai asas yang kuat," katanya yang memuat naik hantaran berhubung 'Malaysia vs Indonesia: Benarkah kita merudum?' di Facebook.

 

Beliau berkata, sering dipaparkan mengenai ekonomi Indonesia semakin baik dari Malaysia. 

 

"Bagus mempunyai negara jiran yang hebat. Menjadi cabaran buat Malaysia. Adakah kita mempunyai asas untuk kembali melonjakkan ekonomi negara kita berbanding negara jiran?," soalnya.

 

 

azlan
Prof. Tan Sri Noor Azlan Ghazali

 

 

Katanya, beliau membuat kajian berdasarkan beberapa indeks penilaian utama dunia, Malaysia adalah jauh lebih baik dari Indonesia.

 

  • 1. World Competitiveness Index 2022: Malaysia (32) mempunyai daya saing yang lebih tinggi dari Indonesia (44)

 

  • 2. Complexity Index 2022: Kecanggihan ekonomi untuk mengaplikasi tekologi Malaysia (24)  jauh lebih tinggi dari Indonesia (67) 

 

  • 3. OECD PISA Score 2018: Score Malaysia (Membaca (415), Matematik (440), Sains (438)) lebih tinggi dari Indonesia (Membaca (371), Matematik (379), Sains (396))

 

  • 4. Global Innovation Index 2021: Malaysia (36) mempunyai keupayaan dan kapasiti berinovasi jauh lebih tinggi dari Indonesia (87)

 

  • 5. Global Food Security Index 2021: Malaysia (39) jauh lebih terjamin keselamatan makanan dari Indonesia (69)

 

  • 6. Corruption Perception Index 2021: Persepsi gejala rasuah di Indonesia (96) jauh lebih teruk dari persepsi rasuah di Malaysia (62)

 

"Kalau dinilai lebih baik dari negara jiran. Mengapa kita menolak penilaian dunia terhadap kita. Yang tidak baik ada pada semua negara. 

 

"Kita terlalu banyak menghabiskan masa memikir dan membincang yang buruk dan tidak baik hingga kita lupa dan tidak percaya dengan kekuatan sendiri," ujar Noor Azlan.

 

Tambahnya, beliau mengajak rakyat Malaysia untuk fokus kepada kekuatan negara dan berkemungkinan ia berlaku di negara jiran.

 

"Hate Your Own Country Index? saya belum jumpa indeks ini. Agaknya ranking kita tinggi kalau ada indeks ini," katanya. - DagangNews.com