Rakyat sedar kepentingan perlindungan insurans, faktor kemampuan jadi kekangan utama : Zurich Malaysia | DagangNews Skip to main content

Rakyat sedar kepentingan perlindungan insurans, faktor kemampuan jadi kekangan utama : Zurich Malaysia

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. -  Pandemik COVID-19 telah meningkatkan kesedaran tentang keperluan perlindungan insurans kepada majoriti Rakyat Malaysia.

 

Menurut Kaji Selidik Impak Pandemik terhadap Perlindungan yang dijalankan oleh Zurich Malaysia, 84% responden bersetuju mengenai hal tersebut, bagaimanapun 38% daripada rakyat Malaysia masih didapati tidak mempunyai perlindungan untuk diri sendiri.

 

Ketua Zurich Malaysia Junior Cho berkata, berdasarkan kaji selidik tersebut, ketidakmampuan menjadi faktor utama rakyat Malaysia tidak memiliki perlindungan insurans dengan 62% daripada 1,201 responden mengatakan bahawa wabak ini mempengaruhi kemampuan mereka.

 

"Lebih membimbangkan, kira-kira 23% atau hampir 1 daripada setiap 4 rakyat Malaysia tidak mampu mendapatkan perlindungan peribadi.

 

"Sebagai satu daripada dua pemain industri di Malaysia yang mempunyai keempat-empat lesen bagi insurans hayat, insurans am, takaful keluarga dan takaful am, kami ingin membantu memastikan rakyat Malaysia mendapat perlindungan yang mencukupi supaya mereka dapat meneruskan gaya hidup mereka. 

 

"Tinjauan ini adalah satu usaha untuk memahami bagaimana rakyat Malaysia terkesan akibat wabak daripada segi perlindungan. Data yang diperolehi amat penting bagi industri untuk mereka penyelesaian yang sesuai bagi memenuhi keperluan pelanggan, agar kita boleh bersama-sama membina masa depan yang lebih cerah untuk rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Kaji selidik tersebut dijalankan pada September 2021 yang merangkumi rakyat Malaysia dari seluruh negara, dengan majoriti responden adalah dalam kumpulan umur 18 hingga 34 (64%).

 

Tambahnya, hasil kaji selidik itu turut mendapati kebanyakan rakyat Malaysia hanya bergantung kepada majikan untuk memberi perlindungan kepada mereka.

 

"12% daripada responden tidak mempunyai perlindungan peribadi. Ini membimbangkan kerana mereka mungkin tidak mempunyai sebarang perlindungan di masa depan sekiranya  kehilangan pekerjaan atau menukar kerjaya," katanya.

 

Namun begitu, katanya masih hampir 3 bagi setiap 4 rakyat Malaysia (72%) ingin mengetepikan sehingga RM200 sebulan untuk insurans atau takaful, jika mereka mampu.

 

"Seiring dengan peningkatan kesedaran, penemuan ini positif kerana ia menunjukkan rakyat Malaysia mahu mengambil sesuatu tindakan untuk melindungi masa depan

mereka," katanya. -DagangNews.com