RAM beri penarafan P1 kepada RM2 bilion program ICP Gamuda | DagangNews Skip to main content

RAM beri penarafan P1 kepada RM2 bilion program ICP Gamuda

 

 


KUALA LUMPUR 28 Dis - RAM Ratings memberi penarafan P1 kepada program Nota Komersial Islamik (ICP) Gamuda Bhd. bernilai RM2 bilion, yang mempunyai tempoh selama 8 tahun mulai 2022 hingga 2029. 

 

Menurut agensi penarafan itu, pengesahan semula penarafan itu adalah berdasarkan kepada laluan pemulihan Gamuda memandangkan sekatan berkaitan pandemik COVID-19 semakin berkurangan, yang akan menyaksikan prestasi operasi kumpulan dijangka bertambah baik secara beransur-ansur, disokong bahagian hartanah yang semakin menonjol. 

 

Bagaimanapun, katanya, segmen pembinaan mungkin kekal lembap disebabkan penyerahan projek baharu dan berskala besar yang perlahan. 

 

"Gamuda mengakhiri tahun kewangan pada 31 Julai 2021 dengan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh di tengah-tengah cabaran pandemik dan menjangkakan profil kewangan Gamuda kekal menyokong penarafan tersebut. 

 

"Malah, dengan rekod prestasi dan kepakaran Gamuda yang kukuh, terutama dalam kerja-kerja rel dan terowong, dapat membantu kumpulan memperoleh kontrak penting di dalam dan luar negara beberapa bulan akan datang," katanya dalam kenyataan pada Rabu. 

 

Dengan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh juga memberi kelebihan dalam tender berkaitan infrastruktur berskala besar, lebih-lebih lagi jika ia memerlukan pembiayaan swasta.

 

Kedudukan tunai Gamuda juga terus berkembang, berjumlah RM5.51 bilion pada akhir Julai 2021, berbanding RM4.17 bilion pada akhir Julai 2020, dirangsang oleh sekuriti penghutang.

 

"Beban hutang yang lebih ringan sebanyak RM5.89 bilion pada tarikh yang sama diterjemahkan dengan gearan dan nisbah gearan bersih masing-masing pada 0.62x dan 0.04x (berbanding akhir Julai 2020 : RM6.19 bilion, 0.69x dan 0.23x). 

 

"Pegangan tunai kumpulan akan dapat membiayai keperluan modal kerja dan bank tanah yang penting di Vietnam," jelasnya.

 

Dengan mengandaikan pembiayaan yang besar tidak diperlukan untuk projek infrastruktur mega, RAM menjangkakan kunci kira-kira Gamuda akan kekal kukuh dalam tempoh 3 tahun akan datang dengan gearan dan gearan bersih masing-masing berada di bawah 0.50x dan 0.30x.

 

Sementara itu, katanya, perbincangan antara Gamuda dengan kerajaan bagi melupuskan konsesi lebuh raya masih lagi berjalan dan dijangka tidak mencapai kata putus dalam tempoh sederhana. 

 

"Penjualan konsesi akan mengurangkan kepelbagaian perniagaannya dan memberi kesan ketara kepada keseluruhan pendapatan, terutama jika segmen pembinaan semakin perlahan," katanya. - DagangNews.com