RAM Ratings beri penarafan AA3 kepada sukuk hijau RP Hydro bernilai RM975 juta | DagangNews Skip to main content

RAM Ratings beri penarafan AA3 kepada sukuk hijau RP Hydro bernilai RM975 juta

KUALA LUMPUR 13 Julai - RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) telah memberikan penarafan akhir AA3/Stabil kepada Sukuk SRI Hijau ASEAN RP Hydro (Kelantan) Sdn Bhd (RPHK) bernilai sehingga RM975 juta di bawah prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar (2023/2043). 

 

Agensi penarafan itu juga telah menyemak semua dokumen urus niaga yang berkaitan dan mendapati dokumen itu selaras dengan jangkaannya apabila penilaian awal diberikan pada Februari 2023.

 

RPHK dimiliki bersama oleh Rising Promenade Sdn Bhd dan Malakoff Corporation Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Tuah Utama Sdn Bhd.

 

"RPHK sejak itu telah memeterai tiga perjanjian pembelian tenaga boleh diperbaharui (REPPA) 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd, syarikat penjana tunggal untuk penjanaan dan penjualan elektrik daripada tiga loji kuasa hidro melalui anak-anak sungai," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Tiga tapak loji di Kuala Geris (25MW), Kemubu (29MW) dan Serasa (30MW) dibangunkan di sepanjang Sungai Galas.

 

RAM Ratings berkata, penarafan terakhirnya mempertimbangkan beberapa kemas kini dalam penilaian, termasuk penambahan saiz terbitan iaitu RM975 juta berbanding RM960 juta dalam penilaian penarafan awal serta garis masa pembinaan yang disemak semula untuk projek-projek, memandangkan kelewatan penutupan kewangan.

 

Ia berkata, tarikh tutup kewangan yang disemak dan notis untuk meneruskan pembinaan meninggalkan potensi jurang 30 hari antara tarikh permulaan tarif galakan yang dijadualkan dan tarikh siap yang dijamin oleh kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian.

 

Menurut RAM Ratings, anggaran ganti rugi tercair yang perlu dibayar di bawah REPPA walaupun minimum, telah dimasukkan ke dalam aliran tunai projek, lapor Bernama.

 

"Secara keseluruhan, kami berpuas hati bahawa ekonomi urus niaga dan metrik kredit kekal setara dengan penarafan AA3/Stabil," katanya. - DagangNews.com