RAM Ratings jangka masalah sektor automotif berterusan hingga 2023 | DagangNews Skip to main content

RAM Ratings jangka masalah sektor automotif berterusan hingga 2023

KUALA LUMPUR 15 Jun - RAM Ratings menjangkakan masalah yang dihadapi sektor automotif seperti kenaikan harga, kesukaran mendapatkan pembiayaan, nilai tukaran asing yang lemah dan pemilikan kenderaan yang tinggi akan berterusan sehinggan 2023.

 

Penganalisis RAM Ratings, Ben Inn berkata, sektor berkenaan berdepan pelbagai ketidaktentuan. 

 

"Terdapat beberapa faktor kawal selia yang tidak membantu sektor itu, walaupun pengecualian cukai jualan dilanjutkan ia tidak dilihat akan diteruskan sehingga 2023.

 

"Selain itu, pengiraan cukai eksais baharu oleh MITI (Kementerian Perdagangan dan Industri) dan kemungkinan pengenalan semula GST munkin mempunyai tempoh penarafan sifar sendiri,” katanya pada sesi webinar, hari ini.

 

Beliau juga menjangkakan harga kereta akan terus meningkat akibat kenaikan harga bahan mentah, alat ganti dan logistik selain diburukkan lagi dengan nilai Ringgit Malaysia yang lemah.

 

"Kebanyakan pengeluar kenderaan adalah sensitif terhadap tukaran mata wang yang tidak stabil.

 

"Permintaan pelanggan juga akan terkesan akibat kadar inflasi yang tinggi, kegusaran terhadap ekonomi, kesukaran mendapatkan pinjaman dan kos pemilikan kenderaan yang tinggi akibat kadar faedah yang tinggi selain proses rasionalisasi subsidi.

 

"Peningkatan kos keperluan harian akan menghakis bajet pengguna untuk berbelanja yang akan mendorong pembelian kenderaan baharu atau kenderaan terpakai," katanya.

 

Inn berkata, pemain industri sedang melobi untuk kerajaan meneruskan pengecualian SST sehingga hujung 2022 dan kemungkinan pengenalan cukai itu secara berperingkat akan mengurangkan tekanan terhadap margin keuntungan.

 

Pengecualian SST dijadulakn berakhir pada 31 Disember 2020 sebelum dilanjutkan sebanyak tiga kali sehingga 30 Jun 2022. - DagangNews.com