Ram Ratings sahkan penilaian AAA RM38 bilion terbitan sukuk saluran pendanaan Khazanah | DagangNews Skip to main content

Ram Ratings sahkan penilaian AAA RM38 bilion terbitan sukuk saluran pendanaan Khazanah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Ram Ratings mengesahkan penilaian AAA terhadap empat sukuk yang diterbitkan oleh saluran pendanaan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah). 

 

Ini melibatkan Islamic MTN Sukuk Musyarakah Programme (RM7.0 bilion), Multi-Currency Islamic Securities Programme (RM20.0 bilion), Islamic MTN Sukuk Ihsan Programme (RM1.0 bilion) dan Islamic MTN Sukuk Danum Programme (RM10.0 bilion). 


 

Pengesahan penilaian itu menggambarkan kepentingan dan hubungan kritikal Khazanah dengan kerajaan, kata Ram Ratings. 

 

Jelas firma itu, walaupun terdapat perubahan kerajaan pada awal tahun ini, namun mandat jangka masa panjang syarikat untuk mengembangkan kekayaan negara menerusi dana komersial dan strategik tetap ada. 

 

“Kepentingan Khazanah ditekankan dengan kebergantungan kerajaan terhadap syarikat itu untuk melindungi dan menyokong aset strategik utama, terutama pada waktu-waktu mencabar ketika pandemik COVID-19.

 

Peranan penting dan sokongan yang dijangkakan dari kerajaan ketika krisis kewangan menyokong pandangan kami,” kata Ram Ratings dalam nota kajiannya. 

 

Setiap penilaian sukuk yang disahkan Ram Ratings menunjukkan penarafan ‘stabil’.

 

Sebagai cabang pelaburan kerajaan, Khazanah mempunyai kelonggaran kewangan tinggi seperti mana digariskan oleh penerbitan hutang kerap dalam kedua-dua pasaran modal tempatan dan global. 


 

Menurut Ram Ratings, portfolio nilai aset boleh dicapai (RAV) Khazanah melebihi liabiliti, melonjak tiga kali ganda pada fiskal 2019, didorong oleh pengurangan hutang yang besar.

 

“Setakat penghujung Julai 2020, paras hutang proforma Khazanah berkurang kepada RM46.52 bilion daripada RM55.24 bilion pada penghujung 2018, hasil daripada pembayaran semula hutang dengan hasil daripada penjualan dan pendapatan dividen.

 

Dengan memanfaatkan kadar faedah rendah semasa, kita dapat melihat hutangnya semakin meningkat untuk membiayai pelaburan dan menyokong syarikat pelaburan. 

 

“Dalam jangka masa panjang, Khazanah berhasrat untuk memastikan perlindungan hutang RAV syarikatnya melebihi tiga kali ganda,” tambah Ram Ratings. 


 

Portfolio pelaburan khazanah kekal berpelbagai di lebih 10 sektor dan negara, walaupun lebih tertumpu kepada domestik. 

 

Setakat penghujung Julai 2020, lima pendedahan sektoral teratas berdasarkan RAV antara 11% dan 16%.

 

Kata Ram Ratings, Khazanah berusaha untuk tingkatkan lagi kepelbagaian portfolio dan menambah baik pulangan dalam jangka masa panjang dengan meningkatkan pemegangan asing bagi dana komersial secara beransur-ansur.

 

Ini bermaksud, penglibatan dalam pasaran kurang stabil atau industri berisiko akan meningkatkan ketidaktentuan prestasi dana itu.

 

Antara sektor-sektor yang dilaburkan Khazanah, segmen perjalanan dan hospitaliti terutamanya terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. - DagangNews.com