RAM Ratings unjur pertumbuhan pinjaman 2022 meningkat hingga 5.0% | DagangNews Skip to main content

RAM Ratings unjur pertumbuhan pinjaman 2022 meningkat hingga 5.0%

KUALA LUMPUR 8 Jun - RAM Ratings mengunjurkan pertumbuhan pinjaman tahun penuh antara 4.5% hingga 5.0% pada 2022 meskipun peningkatan kadar faedah yang didorong oleh pembukaan semula ekonomi secara berperingkat.

 

Agensi penarafan itu dalam satu kenyataan berkata, pendapatan teras sebelum cukai bank-bank dijangka berada dalam aliran meningkat tahun ini, disokong oleh caj rosot nilai yang lebih sederhana dan pengembangan margin faedah bersih.

 

Bagaimanapun, keuntungan dijangka terjejas oleh Cukai Makmur yang dibayar sekali, manakala pertumbuhan ekonomi global yang perlahan ekoran perang Rusia-Ukraine, impak daripada tekanan inflasi tinggi ke atas perbelanjaan penggunaan dan kekurangan buruh terus memberi risiko pertumbuhan perlahan.

 

RAM Ratings menjangkakan industri perbankan mencatatkan keuntungan yang lebih baik pada suku pertama 2022. 

 

Pada Mac 2022, pertumbuhan pinjaman industri berjaya mengekalkan momentumnya pada 4.6% dari tahun ke tahun disokong pinjaman isi rumah yang lebih kukuh selain pengembangan sederhana bagi pinjaman perniagaan.  

 

Ketua bersama penarafan institusi kewangan RAM Ratings, Wong Yin Ching berkata, pelbagai program bantuan pinjaman ditawarkan kepada peminjam semasa pandemik telah memberi tekanan sementara kepada penjaman lapuk. 

 

Menurutnya, agensi penarafan itu percaya nisbah kos kredit sistem perbankan pada 2022 berada di paras terendahnya pada 40-50 mata.

 

“Bagi kebanyakan bank, sebarang masuk kira semula peruntukan utama dijangka berlaku pada 2023 kerana trend pembayaran semula peminjam selepas berakhirnya pakej bantuan akan jelas ketara pada masa itu,” katanya. - DagangNews.com