KUALA TERENGGANU 19 Mac - Pengusaha bot pelancongan di sekitar kampung Seberang Takir dan Losong di sini tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan yang ingin mencari kelainan untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan kali ini.
Pelbagai pakej menarik disediakan untuk pelanggan dengan tarikan utamanya bot yang lebih eksklusif, khusus untuk sekumpulan kecil penumpang sahaja demi menjaga privasi mereka.
Pengusaha bot, Noor Hayati Ahmad berkata, pelanggan diberi kebebasan untuk membawa apa sahaja jenis juadah kegemaran mereka sebagai hidangan berbuka puasa di atas bot.
Menurutnya, mereka perlu menaiki bot pada pukul 6.30 petang dan dibawa menyusuri Sungai Terengganu untuk menikmati pemandangan indah dan ikon pelancongan Terengganu seperti Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu (drawbridge).
"Kita akan berhenti lama di Masjid Kristal dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu untuk memberi peluang kepada penumpang merakamkan foto dan video kenangan mereka.
"Selepas selesai berbuka puasa, bot akan pulang ke jeti dan mereka boleh pergi ke masjid atau surau berdekatan untuk menunaikan solat Maghrib," katanya ketika dihubungi DagangNews.com.
Harga yang dikenakan untuk orang dewasa ialah RM30, kanak-kanak (RM20) manakala usia tiga tahun ke bawah dibenarkan menaiki bot secara percuma.
Hayati yang memiliki empat buah bot berkata, pakej utama yang disediakannya selama ini ialah membawa pelancong ke Pulau Redang namun disebabkan permintaan tinggi sepanjang Ramadan, dia turut menyediakan pakej berbuka puasa di atas bot untuk kali pertama.
Bagi pemilik syarikat Pulau Sekati Boat Tour, Ahmad Muazzam Ramlee pula, permintaan pelanggannya semakin meningkat kerana bot yang disediakan lebih ekslusif iaitu hanya dibuka untuk sekumpulan kecil individu sahaja dan tidak bercampur dengan pelanggan yang lain seperti kebiasaannya.
Menurutnya, selain berbuka puasa, ada juga permintaan untuk menikmati moreh di atas bot dan menyambut hari istimewa tertentu seperti ulang tahun perkahwinan dan hari jadi.
"Suasana senja di sepanjang Sungai Terengganu memang sangat menakjubkan dan ramai penumpang yang menantikan saat tembakan bedil dilepaskan dari puncak Bukit Panorama, iaitu tradisi tahunan di Kuala Terengganu sebagai pemberitahuan masuknya waktu Maghrib di bandar raya ini.
"Percikan bunga api itu serta pemandangan Sungai Terengganu adalah momen yang mereka nantikan untuk dikongsi di dalam media sosial.
"Setiap hari, pasti ada tempahan dari kumpulan anak muda, keluarga dan rakan sepejabat yang ingin meluangkan masa berbuka puasa dengan lebih istimewa di atas bot," katanya yang menyediakan perkhidmatan itu sejak tiga tahun lalu.
Seorang lagi pengusaha bot, Nur Hidayah Imran pula berkata, trend berbuka puasa di atas bot itu tular setiap kali Ramadan dan harganya yang sangat berpatutan menyebabkan semakin ramai yang tertarik untuk mencubanya.
"Apatah lagi, penumpang bebas membawa makanan berbuka puasa mengikut citarasa sendiri, ia lebih berbaloi dengan pengalaman yang dirasai," katanya.- DagangNews.com