Ramalan pendapatan CelcomDigi bagi FY24, FY25 diturunkan sebanyak 1.4% dan 2% | DagangNews Skip to main content

Ramalan pendapatan CelcomDigi bagi FY24, FY25 diturunkan sebanyak 1.4% dan 2%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - Walaupun pendapatan CelcomDigi Bhd selaras dengan jangkaan, MIDF Research menurunkan ramalan pendapatan Celcomdigi Berhad bagi FY24 dan FY25 sebanyak 1.4% dan 2%. 

 

Katanya, kumpulan itu mengekalkan momentum pertumbuhannya pada 4QFY23 selepas penyatuan Celcom dan Digi pada akhir 2022 dan ia membentuk 98.0% daripada anggaran pendapatan tahun penuh FY23.

 

Pendapatan biasa 4QFY23 adalah RM503 juta atau penurunan sebanyak 36.2% dari suku tahun ke suku tahun disebabkan cukai dan zakat yang lebih tinggi iaitu RM241 juta.

 

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan prestasi masa depan kumpulan lebih baik didorong sinergi penggabungan serta pertumbuhan yang stabil dalam hasil perkhidmatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih CelcomDigi meningkat tiga kali ganda kepada RM435.11 juta pada 4QFY23

 

Terdahulu, untung bersih meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM435.11 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2023, berbanding RM127.36 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Hasil bagi suku tersebut meningkat 50% kepada RM3.27 bilion daripada RM2.18 bilion sebelumnya, didorong oleh peningkatan jualan peranti dan hasil perkhidmatan.

 

Bagi tahun penuh (FY23), untung bersih CelcomDigi melonjak kepada RM1.55 bilion daripada RM848.03 juta pada tahun sebelumnya apabila hasil melonjak kepada RM12.68 bilion daripada RM6.77 bilion, terutamanya didorong oleh jualan peranti yang lebih tinggi dan hasil perkhidmatan yang lebih tinggi.

 

Firma Penyelidikan itu berkata, jumlah kos 4QFY23 meningkat sebanyak 9.1% kepada RM1.6 bilion seiring peningkatan trafik dan aktiviti perayauan serta jualan peranti yang tinggi secara bermusim.

 

Katanya, kos tahun penuh FY23 berkurangan sebanyak -0.4% dari tahun ke tahun kepada RM6.5 bilion memandangkan kos operasi yang lebih rendah yang mendapat manfaat daripada disiplin pengoptimuman kos dan penilaian semula elaun kredit

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.95 sesaham berbanding RM4.94 sebelum ini," katanya. - DagangNews.com