Ramalan pendapatan tidak berubah, Mi Technovation dijangka tanggung peruntukan tambahan RM8.8 juta kos kakitangan | DagangNews Skip to main content

Ramalan pendapatan tidak berubah, Mi Technovation dijangka tanggung peruntukan tambahan RM8.8 juta kos kakitangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Public Investment Bank Research (Publicinvest) tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan Mi Technovation Bhd kerana kumpulan itu dijangka menanggung peruntukan tambahan RM8.8 juta bagi kos kakitangan.

 

Katanya, perkara itu bagaimanapun dilihat tidak akan menjejaskan ramalan pendapatan teras mereka terhadap kumpulan itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan teras kumpulan itu melonjak daripada RM8.9 juta kepada RM26.3 juta manakala margin keuntungan operasi berkembang daripada 15.9% kepada 26% disebabkan penggunaan kapasiti yang lebih tinggi. 

 

"Sementara itu, analisis kami menunjukkan bahawa kerugian 90% milik Mi Korea menyusut dengan ketara daripada RM9.7 juta kepada RM4.6 juta. Talentek juga menyaksikan kemajuan yang baik, kerana ia hampir pulang modal pada 1HFY24," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Mi Technovation pada 2QFY24 meningkat kepada RM27.6 juta didorong hasil lebih tinggi

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24) meningkat kepada RM54.4 juta berbanding RM29.1 juta didorong peningkatan hasil kepada RM234.3 juta berbanding RM160.9 juta pada 1HFY23.

 

PublicInvest berkata, pada suku kedua, lonjakan dalam hasil didorong jualan yang lebih kukuh daripada kedua-dua segmen unit perniagaan peralatan semikonduktor (SEBU) dan  unit perniagaan bahan semikonduktor (SMBU).

 

Katanya, jualan SEBU melonjak 74% kepada RM71.9 juta, mungkin disebabkan oleh tempahan yang kukuh untuk Siri Mi (Pemasangan dan Peralatan Pembungkusan) di Malaysia, dan lebih banyak penghantaran peralatan Siri Si (peralatan ujian akhir) di China untuk Talentek yang merupakan pemain Pemasangan dan Ujian Semikonduktor sumber luar untuk industri telefon pintar.

 

Jualan SMBU meningkat 22.4% kepada RM52.4 juta berikutan peningkatan jualan dalam bola pateri daripada kedua-dua operasi Accurus Taiwan dan Accurus China.

 

"Segmen perniagaan rumusan semikonduktor (SSBU) yang terlibat dalam modul kuasa tinggi dan peranti untuk aplikasi jurang jalur lebar dalam segmen Automotif & Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) di Hangzhou, China, membuat sumbangan jualan sulung sebanyak RM2.8 juta," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP)  RM2.92 sesaham. - DagangNews.com