Ramalan penyusutan untung bersih KLCI FY20 dikurangkan - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Ramalan penyusutan untung bersih KLCI FY20 dikurangkan - CGS CIMB

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Keuntungan bersih penanda aras pasaran saham Malaysia, KLCI yang sebelum ini dijangka mencatatkan kemerosotan lebih besar dikurangkan berdasarkan prestasi-prestasi kewangan syarikat tersenarai yang lebih baik. 

 

CGS-CIMB Research yang sebelum ini mejangkakan keuntungan bersih KLCI bagi tahun kewangan 2020 (FY20) merudum 16% dikurangkan kepada 14%. 

 

Jangkaan itu dibuat selepas CGS-CIMB meningkatkan ramalan perolehan beberapa syarikat kapital besar di bawah liputan firma penyelidik itu seperti Top Glove Corporation Berhad (Top Glove), Genting Berhad dan Petronas Chemicals Berhad. 

 

Firma penyelidik itu yakin ramalan yang dibuatnya lebih pesimis berbanding jangkaan Bloomberg iaitu pertumbuhan keuntungan bersih KLCI sehingga 9%. 


 

“Kami meningkatkan sasaran KLCI penghujung 2020 kepada 1,628 daripada 1,520 dan memperkenalkan sasaran bagi penghujung 2021 pada tahap 1,732.

 

“Bagi pilihan tiga teratas, kami menggantikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Inari Amertron Berhad (Inari), manakala Public Bank Berhad dikekalkan. 

 

“Ini seiring pendirian kami bahawa para pelabur disarankan untuk memiliki saham syarikat yang mempunyai manfaat daripada pemulihan ekonomi memandangkan impak penularan COVID-19 mereda,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.

 

Selain itu, DKSH Holdings (Malaysia) Berhad (DKSH) dan Petronas Gas Berhad telah dibuang daripada pilihan teratas CGS-CIMB. 

 

Pada suku ketiga 2020 (3Q20), daripada 130 syarikat di bawah liputan CGS-CIMB, nisbah syarikat yang mencatatkan prestasi kewangan melebihi jangkaan pihaknya iaitu melonjak kepada 35% berbanding 25% pada 2Q20.

 

Ini didorong oleh nisbah semakan pendapatan paling kukuh dalam sejarah baru-baru ini dan 102% peningkatan perolehan syarikat bagi perbandingan suku tahun dibantu kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus membawa pemulihan aktiviti perniagaan sekitar 70% hingga 90%. 

 

Selain itu, CGS-CIMB positif terhadap Maybank sebagai bank pertama yang mengisytiharkan dividen interim pada suku rujukan sebanyak 13.5 sen.

 

“Ini merupakan kejutan positif dan boleh dikaitkan dengan penganalisis yang terlalu konservatif terhadap ramalan perolehan syarikat-syarikat dalam beberapa keadaan, disebabkan oleh ketidaktentuan pergerakan permintaan dan harga jualan kerana COVID-19.

 

“Nisbah syarikat berprestasi yang lebih tinggi merupakan kejutan positif dan ini terutamanya daripada harga minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi, hasil lebih kukuh kerana tempahan tertunggak untuk syarikat pembuatan dan usaha pengurangan kos oleh sesetengah syarikat,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com