Ramsay Sime Darby Health Care umum pelantikan Peter Hong sebagai CEO baharu | DagangNews Skip to main content

Ramsay Sime Darby Health Care umum pelantikan Peter Hong sebagai CEO baharu

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 Jan - Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) mengumumkan pelantikan Peter Hong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 1 Januari 2022. 

 

Dalam satu kenyataan, RSDH berkata, Hong sebelum ini merupakan pemangku CEO kumpulan sejak September 2021. 

 

"Bersama rakan usaha sama Ramsay Health Care, Hong memainkan peranan penting menyelia perkembangan RSDH semasa pandemik untuk memacu pertumbuhan perniagaan dan kecemerlangan operasi. 

 

"Dengan pengalaman selama 28 tahun dalam industri penjagaan kesihatan di Asia Tenggara, Hong pernah bekerja di beberapa syarikat multinasional besar di sektor perubatan dan farmaseutikal," katanya.

 

Sebelum menyertai Sime Darby, Hong merupakan Pengarah Operasi Kumpulan di Siloam Hospitals Group dan Ketua Kewangan dan Operasi di Fresenius Medical Care. 

 

Hong merupakan akauntan bertauliah dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Perakaunan) daripada Monash University dan Felo CPA Australia serta Institut Akauntan Malaysia.

 

RSDH terdiri daripada Pusat Perubatan Subang Jaya, Pusat Perubatan Ara Damansara dan Pusat Perubatan ParkCity di Malaysia. 

 

Ia baru-baru ini telah memperoleh Manipal Hospitals Klang, kini dikenali sebagai Bukit Tinggi Medical Centre.

 

RSDH merupakan kumpulan penjagaan kesihatan swasta terkemuka yang menyampaikan penjagaan bertaraf dunia kepada pesakit di rantau Asia.

 

Ia adalah usaha sama antara Ramsay Health Care, antara pengendali hospital terbesar di dunia, dan Sime Darby, satu daripada konglomerat terbesar di Asia. -DagangNews.com