Ramssol catat penurunan hasil sebanyak 11.3% kepada RM6.1 juta pada 3QFY23 kesan jualan rendah | DagangNews Skip to main content

Ramssol catat penurunan hasil sebanyak 11.3% kepada RM6.1 juta pada 3QFY23 kesan jualan rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - Ramssol Group Berhad mencatatkan penurunan hasil sebanyak 11.3% kepada RM6.1 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM6.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Penurunan itu disebabkan jualan yang lebih rendah daripada penyediaan rumusan pengurusan sumber manusia (HCM), rumusan pengurusan pelajar dan aplikasi teknologi HCM di Thailand dan Indonesia kerana kebanyakan pencapaian projek telah dicapai pada suku berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23).

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM22.7 juta untuk tempoh kewangan sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23) yang lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

"Ia didorong jualan yang lebih tinggi daripada penyediaan rumusan pengurusan HCM, penyelesaian pengurusan pelajar dan aplikasi teknologi HCM di Thailand dan Indonesia.

 

"Untung sebelum cukai kumpulan bagi 9MFY23 adalah sebanyak RM5.4 juta, lebih tinggi berbanding RM3 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu didorong oleh projek tertentu dengan margin keuntungan yang lebih tinggi," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek kumpulan, Ramssol berkata, walaupun menghadapi cabaran berterusan daripada konflik di Eropah dan Asia Barat, gangguan dalam rantaian bekalan global, kenaikan kadar faedah dan inflasi namun pengurusan tetap berwaspada dalam mengemudi kumpulan.

 

Katanya, faktor-faktor ini secara kolektif telah mengurangkan pertumbuhan ekonomi dan menjejaskan keyakinan pelabur dalam pasaran kewangan global.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu menyaksikan hasil positif dan prestasi kami sejajar dengan rancangan yang telah ditetapkan.

 

"Apabila hasil berasaskan projek berkembang, akan terdapat pertumbuhan yang sepadan dalam hasil berulang daripada perkhidmatan teknologi maklumat (IT) profesional, kerana pelanggan biasanya terlibat dalam kontrak perkhidmatan dan penyelenggaraan selepas penyiapan projek," katanya. - DagangNews.com