KUALA LUMPUR 23 Ogos - Ramssol Group Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM1.24 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, lebih rendah berbanding RM2.18 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu turut menyusut kepada RM6.47 juta daripada RM7.71 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Ini menjadikan keuntungan bersih dan pendapatan bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 masing-masing sebanyak RM2.29 juta dan RM14.85 juta.
Kumpulan mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi bagi tempoh itu berbanding RM12.79 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021 terutamanya disebabkan kesinambungan projek untuk penyediaan pengurusan sumber manusia (HCM) dan penyelesaian pengurusan pelajar untuk beberapa pelanggan baharu di Malaysia sejak tahun kewangan lalu.
Bagaimanapun, pendapatan yang disumbangkan dari Singapura telah menurun dalam tempoh separuh pertama 2022 itu kerana sumber yang lebih rendah diperlukan oleh pelanggan sedia ada.
Thailand dan Indonesia terus menjana pendapatan daripada sokongan penyelenggaraan tahunan dan lesen perisian yang jumlahnya tidak besar berbanding hasil kumpulan.
Mengenai prospek tahun ini, Ramssol berkata, walaupun tekanan meningkat terhadap keuntungannya, kumpulan tetap memberi tumpuan untuk menunjukkan pertumbuhan yang mampan bagi baki tahun kewangan ini.
Katanya, pendigitalan fungsi sumber manusia bagi memastikan kecekapan operasi dan jabatan yang lebih tinggi serta peningkatan produktiviti dijangka memacu permintaan untuk HCM dan Penyelesaian Pengurusan Pelajar.
"Organisasi perlu menerapkan penyelesaian teknologi yang inovatif bagi memenuhi keperluan perniagaan pada masa depan..
"Lark dan Zoom, menjadi alat untuk mengoptimumkan produktiviti dan memudahkan transformasi digital tempat kerja, justeru, dengan peluang ini kumpulan mengekalkan pandangan positif untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22)," katanya. -DagangNews.com