Ramssol, MMSDA jalin kerjasama promosi Rider Gate kembangkan teknologi automotif | DagangNews Skip to main content

Ramssol, MMSDA jalin kerjasama promosi Rider Gate kembangkan teknologi automotif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - Ramssol Group Berhad menerusi Rams Solutions Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Peniaga Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) bagi mempromosikan Rider Gate melalui rujukan peniaga kepada platform itu dengan cara yang bersesuaian.

 

Kumpulan itu berkata, kerjasama itu adalah selaras dengan strategi syarikat itu bagi mengembangkan perniagaan teknologi automotifnya.

 

Ia juga dijangka menyediakan aliran hasil tambahan selain meningkatkan asas pendapatan kumpulan yang seterusnya meningkatkan prestasi kewangan kumpulan itu.

 

"Rams Solutions akan menyediakan platform Rider Gate kepada peniaga bagi tujuan transasksi termasuk jual beli motosikal kepada pelanggan akhir. 

 

"Mereka juga akan membantu peniaga dengan menawarkan dagangan dalam talian yang diperakui Human Resource Development Fund (HRDF) yang dikendalikan oleh Infinite Loop Media Sdn. Bhd," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Menerusi perjanjian itu, mana-mana pihak boleh menamatkan perjanjian itu melalui notis bertulis kepada pihak yang satu lagi, dengan syarat notis penamatan diberikan sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal.

 

Kerjasama itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ke atas perolehan sesaham biasa kumpulan, aset bersih sesaham serta modal saham dan pemegang saham utama kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. - DagangNews.com