KUALA LUMPUR 7 Jun - Kadar penghunian IOI Central Boulevard (IOICB) milik IOI Properties Group Bhd di Singapura dijangka meningkat daripada 30% kepada 38%, jika Morgan Stanley memuktamadkan perjanjian penyewaan, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Memetik laporan Bloomberg, HLIB berkata syarikat perkhidmatan kewangan tersebut sedang dalam perbincangan lanjutan untuk menduduki lima tingkat, iaitu seluas 100,000 kaki persegi, di bangunan pejabat itu.
Jurucakap Morgan Stanley telah mengesahkan rancangan untuk memajak lima tingkat di bangunan baharu itu mulai akhir tahun depan, dengan lokasi itu berfungsi sebagai ibu pejabat bank itu untuk Asia Tenggara namun tiada maklumat mengenai sewa telah didedahkan.
“Jika ia menjadi kenyataan, ini akan menaikkan kadar penghunian IOICB daripada 30% kepada 38%. Pengurusan sebelum ini telah berkongsi bahawa ia mempunyai senarai panjang penyewa berpotensi dan kini sedang dalam proses memuktamadkan perjanjian penyewaan dengan beberapa daripada mereka,” katanya dalam not hari ini.
Pada masa ini, IOICB telah memperoleh 30% penyewaan komited daripada penyewa utama yang dilaporkan sebagai Amazon.
Menurut firma penyelidikan itu, bangunan itu dijadualkan siap menjelang akhir 2023 dengan kadar penghunian disasarkan pada 70 hingga 80% selepas bermulanya operasi dan anggaran purata sewa untuk bangunan ialah SG$11 setiap kaki persegi sebulan.
Jelasnya, ini dijangka menyediakan kumpulan dengan anggaran pendapatan sewa tahunan kasar sebanyak kira-kira RM390 juta dan nilai pasaran pelaburan hartanah kumpulan dijangka bernilai lebih daripada tiga kali permodalan pasaran semasa kumpulan apabila bangunan itu siap.
Selepas pembinaan bangunan pejabat IOICB dan IOI Palm City di China pada 2024 siap, kedua-dua projek ini dijangka meningkatkan nilai pasaran pelaburan hartanah kumpulan dengan ketara kepada RM19.5 bilion, iaitu 2.4 kali ganda daripada RM5.8 bilion pada masa ini, tiga kali lebih besar daripada permodalan pasaran semasanya.
Di samping itu, firma itu turut menekankan bahawa pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), penggearan bersih kumpulan berada pada 69.2% dan berkemungkinan akan kekal tinggi sehingga separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) memandangkan kos pembangunan dijangkakan diperoleh daripada pelancaran Marina View yang akan datang.
Bagaimanapun, penggearan bersih sepatutnya bertambah baik pada 2HFY24 apabila sumbangan daripada IOICB dan Marina View bermula.
HLIB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.60 sesaham.
Setakat pukul 11:55 pagi ini, saham IOI Properties didagangkan pada RM1.08, naik 2 sen atau 1.9% dengan modal pasaran bernilai RM5.9 bilion. -DagangNews.com