Rangka kerja baharu FGV selari aspirasi negara bakal transformasi industri sawit | DagangNews Skip to main content

Rangka kerja baharu FGV selari aspirasi negara bakal transformasi industri sawit

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai - FGV Holdings Bhd (FGV) melancarkan Rangka Kerja Kelestarian terbaharu, mengorak langkah ke arah komitmen berterusan terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

 

Rangka kerja yang diperbaharui itu disasarkan bagi menyumbang kepada usaha negara dalam mengubah industry sawit dan menyokong aspirasi kelestarian kebangsaan.

 

Menurut FGV, rangka kerja itu diperbaharui meliputi lima teras Pertumbuhan Ekonomi, Tadbir Urus, Sosial, Alam Sekitar dan Inovasi dan Teknologi.

 

Pembaharuan itu termasuk bidang tumpuan khusus di bawah setiap teras berdasarkan arah aliran ESG semasa, termasuk kecemerlangan operasi; hak asasi manusia dan piawaian buruh; kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman (DEI); pensijilan kelestarian, kebolehkesanan, penyumberan bertanggungjawab dan pengurusan rantaian bekalan; penglibatan dan pembangunan komuniti; tindakan iklim; tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan tenaga; serta kepelbagaian biologi dan pengurusan tanah.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor menyatakan rangka kerja baharu itu membuktikan FGV terhadap pertumbuhan ekonomi yang inklusif, tanggungjawab sosial dan perlindungan alam sekitar. 

 

“Kami percaya dengan kerjasama dari pelbagai pihak ianya boleh memberi impak positif kepada industri sawit dan sektor berkaitan sekaligus memacu membina masa depan yang lebih baik untuk masyarakat dan negara,” tambah beliau. 

 

Selaras dengan Rangka Kerja Kelestarian ini, FGV mempertingkatkan amalan buruhnya, termasuk memperkukuhkan dasar dan prosedur syarikat, mengambil langkah usaha wajar dalam proses pengambilan serta menyediakan infrastruktur dan kemudahan lebih baik, termasuk perumahan untuk pekerja. 

 

Sejajar dengan komitmen syarikat itu  kepada inisiatif Sasaran Berasaskan Sains (SBTi), FGV membangunkan rancangan pengurangan Gas Rumah Hijau (GHG) bagi memenuhi sasaran jangka pertengahan dan jangka panjang syarikat.

 

Sebahagian daripada usaha mengurangkan pelepasan karbon, syarikat itu turut menggunakan produk biojisim sisa pemprosesasan daripada operasi FGV untuk menjana tenaga boleh diperbaharui. 

 

FGV kini mempunyai dua loji janakuasa biojisim menghasilkan kira-kira 20 megawatt (MW) dan 28 loji biogas berkapasiti 15.4 MW untuk program Tarif Masukan (FiT). 

 

Selain itu, pengumpulan biojisim kelapa sawit diperolehi dari ladang-ladang FGV dan pekebun-pekebun kecil menjadikan syarikat itu pemilik sumber biojisim terbesar dunia.

 

“Prospek tu membolehkan FGV menjana tenaga bio terbesar di Malaysia dan membawa perkhidmatan tenaga bio secara meluas untuk pengguna.” ujarnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pada masa yang sama, syarikat itu memberi tumpuan kepada program pemuliharaan dan telah menyelamatkan 86 ekor beruang madu, di mana 75 ekor telah dipulihkan dan dilepaskan. 

 

Menurut FGV, 16 ekor ungka dilepaskan kembali ke hutan setelah berjaya menyesuaikan mereka dengan habitat liar dan menyaksikan kelahiran 14 ekor anak tenggiling dalam kurungan.

 

Sementara itu, Hari Peneroka FELDA berlangsung di Taman Agro Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dari 12 hingga 14 Julai telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Fadillah Yusof. 

 

Pada majlis yang sama, beliau melancarkan program percubaan biodiesel B100 menjadikannya percubaan yang pertama di Malaysia untuk menguji kebolehgunaan bahan api yang boleh diperbaharui di lori tangki FGV. 

 

Inisiatif itu merupakan hasil kerjasama antara FGV dan MAN Truck & Bus (M) Sdn. Bhd. (MAN Malaysia) membuktikan komitmen menerusi penggunaan bahan api hijau dalam usaha mengurangkan jejak karbon.

 

Selain itu, Fadillah turut menyaksikan penyerahan sijil borang keahlian pekerja FGV kepada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW). 

 

Kata FGV, inisiatif itu memaparkan komitmen berterusan FGV terhadap hak pekerja, khususnya kebebasan berkesatuan menerusi usaha FGV untuk memudahkan proses keahlian kesatuan melalui kerjasamanya dengan NUPW.

 

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang FGV, tonton video korporat baharu FGV terdapat di platform media social FGV — Facebook, Instagram, TikTok, LinkedIn dan YouTube, serta di laman web: www.fgvholdings.com. - DagangNews.com