Rangka Kerja Pengawasan berlandaskan Maqasid Syariah, hala tuju utama tadbir urus TH | DagangNews Skip to main content

Rangka Kerja Pengawasan berlandaskan Maqasid Syariah, hala tuju utama tadbir urus TH

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Rangka Kerja Pengawasan (RKP) akan menjadi panduan utama kepada asas kawalan tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH), sebagai usaha memastikan institusi itu dapat menunaikan mandat pengurusan haji bertaraf dunia dengan lebih berkesan dan lestari.

 

RKP ini adalah berlandaskan konsep Maqasid Syariah yang merangkumi lima prinsip utama iaitu perlindungan agama, nyawa, akal, harta benda dan generasi akan datang.

 

TH

 

Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Yusof berkata, sebagai institusi Islam yang menguruskan simpanan deposit umat Islam Malaysia, TH bertanggungjawab memastikan mereka sentiasa menambah baik cara untuk menunaikan amanah ini. 

 

“Pengenalan RKP ini adalah sebagai panduan utama bukan sahaja kepada pemimpin dan warga hari ini, malah untuk para pemimpin dan warga kerja TH yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tan Sri Md Nor Yusof
Md Nor Yusof

 

Objektif utama RKP menumpukan kepada pelaksanaan kerja-kerja operasi dengan mematuhi prinsip-prinsip syariah dan menegakkan tadbir urus korporat yang kukuh dah berintegriti.

 

Kata Md Nor, dengan pengalaman lebih 58 tahun dalam operasi patuh syariah, TH harus memastikan aspek kelestarian untuk jangka masa panjang. 

 

TH komited untuk menerapkan prinsip Maqasid Syariah dalam semua aktiviti harian yang dilakukan di samping memastikan Anggota Lembaga, Panel Pelaburan, Pengurusan Kanan dan warga kerja sentiasa mendukung empat prinsip utama iaitu nilai dan prinsip Islam, kepimpinan beretika yang berkesan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang berkesan, dan akauntabiliti kepada pihak berkepentingan, jelas beliau lanjut. 

 

TH
TH komited untuk menerapkan prinsip Maqasid Syariah dalam semua aktiviti harian yang dilakukan di samping memastikan Anggota Lembaga, Panel Pelaburan, Pengurusan Kanan dan warga kerja sentiasa mendukung empat prinsip utama.

 

Menurut TH, penubuhan institusi itu sendiri adalah berakar umbi daripada Maqasid Syariah, bertitik tolak daripada idea Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bagi membantu umat Islam menyimpan secara beransur-ansur agar mereka terhindar daripada masalah kewangan setelah kembali dari menunaikan haji. 

 

Ini kerana kebanyakan mereka akan menjual harta benda berharga seperti tanah atau ternakan untuk perbelanjaan haji, jelas TH lanjut.

 

Bersempena pelancaran ini juga, pelbagai program dan aktiviti dalaman akan dilaksanakan dengan penglibatan warga kerja dalam usaha memperkuatkan tadbir urus korporat TH seterusnya. 

 

TH mula ditubuhkan pada tahun 1963 yang bertujuan membantu mereka yang ingin menunaikan haji dan kini, kira-kira separuh daripada umat Islam di Malaysia atau 8.3 juta orang telah mendaftar sebagai pendeposit di TH. 

 

Sepanjang 58 tahun penubuhannya, TH telah menguruskan ibadah haji kepada 1.5 juta orang di seluruh negara. 

 

Pembangunan TH selama hampir enam dekad ini juga telah mendorong institusi haji tersebut untuk mengukuhkan struktur tadbir urusnya dengan lebih baik menerusi RKP. - DagangNews.com