KUALA LUMPUR 29 Sept - Salah satu rangkaian ahli eksekutif berasaskan rakan sebaya terbesar di dunia, Executives' Global Network (EGN) telah melancarkan pejabatnya di Malaysia untuk membantu para eksekutif kanan dalam negara ini meraih peluang untuk berkongsi dan bertukar ilmu, pengalaman serta kepakaran.
Pemimpin perniagaan akan sentiasa menghadapi cabaran yang tidak dapat dijangka seperti pandemik COVID-19 yang telah memaksa mereka untuk menyesuaikan diri dan mengubah cara mengemudi perniagaan sepanjang masa krisis.
Situasi ini telah membawa kesegeraan baharu untuk memenuhi matlamat transformasi digital dan memaksa banyak organisasi untuk mempercepatkan penyesuaian, selain daripada mencari peluang baharu untuk memacu dan mengekalkan pemulihan ekonomi.
Kehadiran EGN dalam pasaran ini boleh membantu membentuk semula pemikiran pemimpin Malaysia daripada mengetahui segala-galanya dan bersaing antara satu sama lain, kepada berkongsi sesama rakan sebaya mereka dan berkembang bersama.
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan EGN Malaysia, Nick Jonsson berkata, melalui rangkaian eksekutif rakan sebayanya, EGN ingin menyokong para pemimpin perniagaan Malaysia agar tidak lagi bersendirian.
"Ini kerana mereka dapat menimba pengalaman orang lain dalam kumpulan mereka dan membolehkan mereka belajar daripada rakan sebaya pada tahap yang sama yang bekerja untuk syarikat bersaiz serupa dengan skala, cabaran dan masalah yang serupa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, EGN terus berkembang maju sebagai sebuah syarikat rangkaian profesional yang berjaya, dan baharu-baharu ini memenangi pengiktirafan berprestij daripada Entrepreneurs 100 Award 2021 untuk Usahawan Terbaik Tahunan Singapura.
"Kami juga telah berjaya meningkatkan pangkalan data keahlian Singapura kami sebanyak lebih daripada 50% dalam tempoh dua tahun yang lalu. Kami berharap untuk mengembangkan EGN Malaysia bersama ahli Singapura dan Indonesia kami,” katanya.
Pengasas Bersama dan Pengarah Perkhidmatan Ahli di EGN Malaysia, Dona Amelia pula berkata, mereka akan memulakan sesi pertama kumpulan rakan sebaya untuk kepimpinan eksekutif pada 27 Oktober 2022 di ibu negara.
“Sesi pertama ini adalah melalui jemputan sahaja, hanya untuk ahli sedia ada, tetapi mereka yang berminat untuk menghadiri sesi akan datang dialu-alukan untuk memohon keahlian.
"Yang penting sekali, kami tidak membenarkan aktiviti penjualan dalam mana-mana sesi kami. Ia adalah untuk perkongsian ilmu dan kerjasama semata-mata. Bagaimanapun, atas kepercayaan dalam kalangan ahli kami, perniagaan mungkin berlaku di antara mereka jika difikirkan sesuai,” katanya.
Satu lagi sorotan unik EGN adalah ia menyediakan ahli dengan Member's Universe, sebuah komuniti dalam talian yang terdiri lebih daripada 15,000 ahli yang datang dari seluruh dunia, menampilkan fungsi pertanyaan global, pemesejan dalam aplikasi, kumpulan EGN maya, acara serantau dan webinar global serta peralatan dan sumber pembelajaran lain yang berharga. - DagangNews.com