Rangkaian model ELF Isuzu Safety Plus lebih selamat & efisyen | DagangNews Skip to main content

Rangkaian model ELF Isuzu Safety Plus lebih selamat & efisyen

ELF Isuzu Safety Plus

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com 

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Isuzu Malaysia melancarkan rangakaian model ELF yang dinaik taraf dengan platform Isuzu Safety Plus yang memaparkan kombinasi sistem keselamatan yang lebih efisyen.

Ketua Pegawai Esekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura berkata, rangkaitan tersebut juga dihasilkan dengan kesesuaian bahan api biodiesel B20 bagi kesan jaminan yang lebih baik.

"Rangkaian model ELF yang dipertingkat dengan Isuzu Safety Plus ini membuktikan satu evolusi menyeluruh dalam penawaran tahap keselamatan dan prestasi lebih baik yang sememangnya diinginkan oleh pengendali trak.

"Ini membolehkan mereka mengendalikan perniagaan dengan lebih efektif dalam persekitaran pasaran pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Koji Nakamura
Koji Nakamura

 

Rangkaian model ELF yang dipertingkat dengan Isuzu Safety Plus itu direka bagi memenuhi keperluan pasaran semasa selain memberi penyelesaian pengangkutan yang lebih efisyen kepada pengendali trak di Malaysia.

Penambahbaikan itu boleh didapati pada 18 variasi ELF yang terdiri daripada kenderaan empat roda sehingga enam roda. 

Menerusi pengenalan trak baharu yang telah dipertingkatkan itu juga, Isuzu kini menawarkan rangkaian trak tugas ringan yang dilengkapi platform komprehensif Isuzu Safety Plus yang paling banyak.

Ia juga dilengkapi ciri-ciri lain bagi membantu pengendali trak menjalankan perniagaan dengan lebih selamat, produktif dan mampan.

Platform Isuzu Safety Plus merangkumi empat ciri keselamatan utama iaitu Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Anti-slip Regulator (ASR) dan Supplemental Restraint System (SRS) Airbag.

Rangkaian trak ELF dengan Isuzu Safety Plus merupakan yang pertama di dalam segmennya yang menawarkan kelebihan penuh Teknologi S.E.E Isuzu yang merangkumi tiga aspek utama iaitu Keselamatan (Safety), Ekonomi (Economy) dan Alam Sekitar (Environment). 

Tambah Nakamura, pengenalan rangkaian terbaharu itu juga dijangka akan mengukuhkan kedudukan Isuzu ELF yang merupakan trak tugas ringan paling laris selama 10 tahun di Malaysia.

“Rangkaian trak ELF dengan Isuzu Safety Plus merupakan rakan pengedaran yang ideal dan bakal menjadi pengubah dalam segmennya. 

"Kami yakin bahawa rangkaian yang telah dipertingkatkan ini mampu membawa kami untuk mencatat satu lagi pencapaian sebagai trak tugas ringan paling laris di Malaysia pada tahun ini dan masa depan,” tambah Nakamura.   

Trak rangkaian model ELF dengan Isuzu Safety Plus itu boleh didapati di semua 43 cawangan sah trak Isuzu di seluruh negara bermula hari ini.  - DagangNews.com