Ranhill raih kontrak pengurangan air bukan hasil bernilai RM283.9 juta di Johor | DagangNews Skip to main content

Ranhill raih kontrak pengurangan air bukan hasil bernilai RM283.9 juta di Johor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Dis - Ranhill Utilities Berhad menerusi Ranhill Technologies Sdn. Bhd. menerima surat anugerah (LOA) bagi kontrak pengurangan air bukan hasil (NRW) bernilai RM283.9 juta di Johor.

 

Kontrak itu merupakan yang ketujuh berturut-turut yang diperoleh Ranhill Technologies melalui tender terbuka sejak 2011 dan mereka berjaya melaksanakan projek berkenaan di Johor secara holistik sejak ditubuhkan pada 2005.

 

Kumpulan itu berjaya mengurangkan NRW di Johor daripada lebih 37% pada 2005 kepada 25.1% pada 30 November 2023.

 

"Projek itu akan dilaksanakan serta-merta dengan tarikh pemilikan 1 Januari 2024 dan akan disiapkan pada 31 Disember 2026," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Antara skop kerja bagi kontrak yang memakan masa 36 bulan itu merangkumi penubuhan kawasan meter daerah (DMA) baharu dan penubuhan semula DMA sedia ada selain rumusan serta penyelenggaraan meter NRW dan pencatat data.

 

Ia juga memerlukan kumpulan itu untuk menguruskan tekanan air, pemantauan dan penyelenggaraan takungan selain pemasangan meter, injap dan PRV.

 

"Kumpulan itu juga perlu menyelenggara sistem Ranhill SAJ AquaSMART selain kerja-kerja pembaikan dan jumlah NRW serta pengurangan kebocoran," katanya.

 

Projek tersebut dilihat akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 hingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Projek itu adalah sebahagian daripada perbelanjaan mengurus kumpulan dan akan dibiayai sepenuhnya oleh RanhillSAJ.- DagangNews.com