Rantau Asia Pasifik ke arah pemulihan ekonomi - Moody's Analytics | DagangNews Skip to main content

Rantau Asia Pasifik ke arah pemulihan ekonomi - Moody's Analytics

 

 

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Langkah kawalan terhadap penularan wabak COVID-19, sekatan yang makin longgar dan peningkatan perdagangan global mendorong negara ekonomi Asia Pasifik ke arah pemulihan global. 


Ketua Ekonomi APAC, Steve Cochrane berkata, pemulihan Asia diterajui oleh China yang disumbangkan menerusi prestasi kukuh eksport, yang berada di atas tahap pra COVID-19 sejak pertengahan tahun. 


"Perdagangan antarabangsa China yang berkembang pantas dan peningkatan import turut dirasai di rantau APAC yang lain.
 

"Ini menyaksikan Vietnam, Singapura, Taiwan, Malaysia dan New Zealand merekodkan eksport mengatasi tempoh setahun lalu setakat September," katanya menurut Bernama yang memetik laporan bertajuk APAC Outlook: Next Year Looks Better for Most of the Region yang dikeluarkan Moody's Analytics, 17 November lalu. 


Jelas Cochrane, walaupun hanya beberapa negara sahaja melaporkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga setakat 13 November lalu iaitu China, Indonesia, Malaysia dan Korea Selatan, tetapi kesemuanya mencatatkan pertumbuhan suku ke suku. 


"Negara rantau ini telah melaksanakan langkah kawalan yang terbaik bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan ia meningkat sejajar dengan pemulihan global bagi pengeluaran perindustrian dan perdagangan global. 


"Tambahan pula, ia menikmati tahap sokongan fiskal dalam kebanyakan negara yang akan memelihara ekonomi dan perniagaan serta persekitaran kewangan isi rumah supaya mereka berupaya menyumbang ke arah pemulihan ekonomi," katanya. 


Dari segi aliran portfolio, beliau berkata, pelabur tidak pernah hilang keyakinan terhadap China manakala Malaysia dan Filipina memiliki hampir sama aliran hutang terkumpul bersih yang positif setakat ini. 


Cochrane bagaimanapun menyedari keseluruhan rantau APAC tidak akan pulih sepenuhnya sehingga ekonomi global dapat memperluaskan rangkaian perdagangan global dengan lebih banyak barangan pengguna termasuklah kenderaan dan komoditi seperti minyak mentah dan petrokimia. 


Dalam hal ini katanya, pemulihan ekonomi rantau APAC tidak akan lengkap selagi perjalanan antarabangsa dan pelancongan tidak dapat dihidupkan kembali. 


"Ini akan menjadi satu proses yang panjang memandangkan penilaian rasmi masih dijalankan di negara asal dan juga negara kedatangan pelancong," katanya. 


Antara risiko lain yang boleh menjejaskan pemulihan rantau ini juga termasuklah sejauh mana keterbukaan kerajaan meneruskan sokongan fiskal bersasar untuk isi rumah dan industri yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
 

"Namun, Malaysia, Singapura, Australia dan Jepun mempunyai program sokongan yang besar dan bersasar dalam membantu isi rumah dan industri," katanya. - DagangNews.com