KUALA LUMPUR 5 Dis - MIDF Research menjangkakan pelasaran dasar kerajaan bermula tahun hadapan termasuk rasionalisasi subisidi dan kenaikan harga bahan api secara beransur-ansur boleh menjejaskan prospek perbelanjaan domestik.
Katanya, keadaan itu juga akan meyaksikan inflasi negara kekal tinggi.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengunjurkan bahawa permintaan domestik akan terus menyokong pertumbuhan, dirangsang oleh pasaran tenaga kerja positif yang menggalakkan pemulihan sektor pelancongan dan menyederhanakan inflasi.
"Jualan runcit Malaysia mencatatkan kenaikan semula dan meningkat sebanyak 2.7% pada suku ketiga tahun ini menurut laporan Retail Group Malaysia (RGM).
"Prestasi itu melepasi anggaran pertumbuhan 1.4%. Pemulihan dalam jualan runcit suku ketiga disokong oleh peningkatan permintaan dalam negeri yang mampan, berikutan keadaan pasaran tenaga kerja yang sihat, serta peningkatan perbelanjaan pelancongan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sementara itu, MIDF Research berkata, RGM melaporkan inflasi menjadi sederhana kepada 2.5% pada suku tersebut tetapi kekal di atas purata yang dilihat pada 2011-2022.
Katanya, kejatuhan nilai ringgit yang tinggi sebagai faktor utama kenaikan harga yang berterusan.
"Pengembangan jualan runcit sedikit sebanyak menafikan sentimen yang lebih lemah seperti yang dilihat dalam Indeks Sentimen Perniagaan MIER, yang merosot kepada 79.7 terendah sejak suku kedua 2020," katanya. - DagangNews.com