Razer Fintech ambil alih E2Pay dalam usaha kembangkan perniagaan ke Indonesia | DagangNews Skip to main content

Razer Fintech ambil alih E2Pay dalam usaha kembangkan perniagaan ke Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Razer Fintech mengumumkan pengambilalihan PT E2Pay Global Utama(E2Pay) yang merupakan antara fasilitator pembayaran digital B2B2C dan pemain e-money terkemuka di Indonesia.

 

Razer Fintech sudah pun menjadi rangkaian pembayaran digital O2O (luar talian ke dalam talian) yang terkemuka di Asia Tenggara dan pengambilalihan itu adalah untuk pengembangan mereka ke Indonesia.

 

E2Pay menyediakan pelbagai penyelesaian pembayaran kepada peniaga dan institusi kewangan termasuk gerbang pembayaran e-wang dan lesen perkhidmatan pengiriman wang di Indonesia.

 

Perkhidmatan itu melengkapi perkhidmatan Razer Merchant Services, cabang perniagaan-ke-perniagaan Razer Fintech secara serantau kerana ia memudahkan pembayaran rentas sempadan untuk 60,000 peniaganya di rantau ini.

 

Gerbang pembayaran E2Pay menyokong pertumbuhan e-Dagang termasuk pasaran dalam talian, perkhidmatan profesional, perjalanan dan pelancongan serta segmen lain di seluruh Indonesia seperti Tokopedia, Bukalapak, Traveloka dan Blibli.com.

 

Pemain fintech Indonesia juga menghubungkan saluran pembayaran utama dan menyokong kaedah pembayaran tempatan dan alternatif, termasuk skim kad, perbankan internet, perbankan mudah alih, e-wang, akaun maya, mata luar talian serta pembiayaan peribadi bagi menyediakan platform pembayaran tempatan yang komprehensif untuk lebih 500 peniaga di rantau ini.

 

razer

 

Ketua Pegawai Eksekutif Razaer Fintech, Lee Li Meng berkata, platform E2Pay dan MBayar memberi perkhidmatan kepada lebih 500,000 pengguna berdaftar dan menyokong pembayaran untuk pelan kredit atau data, pembayaran bil, pembayaran QR, pengeluaran tunai dan perkhidmatan pemindahan dana.

 

Katanya, E2Pay adalah antara pembayaran digital Indonesia yang mempunyai set lesen yang komprehensif merentas pelbagai perkhidmatan pembayaran, e-wang dan pengiriman wang.

 

"Pengambilalihan E2Pay membolehkan kami mempercepatkan kemasukan ke Indonesia yang merupakan antara ekonomi digital paling pesat berkembang di Asia Tenggara selain dapat memenuhi keperluan pembayaran digital pedagang serantau dengan lebih baik.

 

"Saya berharap dapat bekerja rapat dengan pasukan E2Pay untuk mengembangkan kehadiran kami di Indonesia dengan ketara pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengerusi E2Pay, Rudy Danandjaja berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Razer Fintech. 

 

"Kami berharap sinergi antara E2Pay dan Razer Fintech akan membolehkan kedua-dua organisasi memanfaatkan keberadaan kami dalam mengembangkan dan meningkatkan jangkauan platform ke seluruh Asia Tenggara," katanya. - DagangNews.com