RBTR, 5 lagi diperintah bayar ganti rugi lebih RM13 juta - SC | DagangNews Skip to main content

RBTR, 5 lagi diperintah bayar ganti rugi lebih RM13 juta - SC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 April - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Mac 2021, memerintahkan RBTR Asset Management Berhad dan lima lagi defendan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM13.352 juta kerana peranan mereka dalam skim Euro Deposit Investment (EDI). 

 

Mahkamah memerintahkan aset-aset defendan dijejaki dan dibayar kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk membuat pampasan kepada pelabur skim EDI, menurut suruhanjaya itu dalam sebuah kenyataan. 

 

“Mahkamah juga mengisytiharkan RBTR, yang merupakan pengurus dana yang dilesenkan oleh SC, telah melanggar obligasi dan/atau tugasnya di bawah garis panduan pengurus dana dan telah gagal melaksanakan ketelitian wajar untuk melindungi wang pelabur,” jelas SC.

 

Pada 2009, SC telah memfailkan saman sivil terhadap RBTR dan lima lagi defendan, Locke Guarantee Trust Limited (LGT) di New Zealand;  Locke Capital Investments Ltd (LCI) di British Virgin Island; Isaac Paul Ratnam (Issac Ratnam);  Joseph Lee Chee Hock (Joseph Lee); dan Nicholas Chan Weng Sung (Nicholas Chan).

 

Menurut SC, pada 17 Mei 2012, pihaknya telah membatalkan Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL) RBTR. 

 

Saman sivil tersebut telah difailkan susulan siasatan SC pada Ogos 2009 terhadap skim EDI, selepas menerima aduan daripada pelabur. 

 

“Sejumlah 106 pelabur telah diperdaya untuk menyertai skim tersebut yang menjanjikan, antara lain, pulangan tahunan sebanyak 8% yang akan dibayar apabila matang. 

 

“Pelabur telah diperdaya dengan mempercayai bahawa pelaburan mereka telah didepositkan ke dalam sebuah bank di Eropah yang diberi penarafan “AAA” dengan perlindungan kepada modal dan pendapatan penuh.

 

“Sejumlah RM13.352 juta khususnya pelaburan yang telah matang pada Februari hingga Mei 2009, tidak dibayar,” tambah SC. 

 

Skim EDI telah dipasarkan oleh RBTR bersama LGT dan LCI, yang bertindak sebagai Pengurus Dana di Malaysia secara bersama dengan RBTR. 

 

Defendan yang lain, Nicholas Chan dan Joseph Lee, merupakan pengarah LGT dan LCI, manakala Isaac Ratnam merupakan individu yang dikaitkan dengan operasi kedua-dua syarikat tersebut. - DagangNews.com