KUALA LUMPUR 30 Jun - Reach Energy Bhd (REB) bercadang untuk menerbitkan 1.03 bilion saham biasa baharu pada harga terbitan 20 sen sesaham untuk melaksanakan penyelesaian hutang melibatkan RM206.51 juta yang terhutang kepada Super Racer Ltd (SRL).
Pada masa sama, SRL dan Cheung Siu Fai, yang bertindak bersama SRL, berhasrat untuk mendapatkan pengecualian Suruhanjaya Sekuriti (SC) daripada obligasi untuk melaksanakan tawaran pengambilalihan mandatori bagi baki saham REB dan waran tertunggak yang dikeluarkan oleh REB yang tamat tempoh pada 15 Ogos 2022 selepas menyelesaikan cadangan penyelesaian hutang.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, REB berkata, apabila penyelesaian hutang yang dicadangkan selesai, SRL akan menandatangani perjanjian kemudahan pinjaman pemegang saham.
"Ia akan menandatangani perjanjian itu atau mendapatkan Cheung menandatangani perjanjian kemudahan pinjaman pemegang saham (sama ada sendiri atau bersama SRL), untuk menyediakan kemudahan pinjaman pemegang saham sehingga RM22.01 juta kepada REB," katanya.
SRL ialah sebuah syarikat yang diperbadankan di Hong Kong manakala Cheung ialah pemegang saham tunggal dan pengarah tunggal SRL.
Menurut REB, sebanyak RM19.51 juta daripada hasil kemudahan pinjaman pemegang saham itu akan digunakan sebagai modal kerja manakala RM2.5 juta sebagai anggaran perbelanjaan berkaitan cadangan tersebut.
Penyelesaian hutang yang dicadangkan itu dijangka dapat mengurangkan dengan ketara obligasi pembayaran faedah REB dan seterusnya meringankan beban kewangan kumpulan.
"Selain itu, cadangan ini juga membolehkan REB mengurangkan hutangnya ke tahap yang lebih terurus seperti yang dibuktikan oleh pengurangan penggearan kumpulan daripada 2.52 kepada 1.08 kali.
"Ia adalah hasil daripada peningkatan dalam modal saham terbitan dan penurunan jumlah pinjaman, dan dengan itu, meningkatkan keupayaan REB untuk berunding dan mendapatkan pengaturan pembiayaan untuk operasi perniagaannya yang sedia ada, sekiranya perlu," katanya.
Kumpulan menjangkakan cadangan ini dapat diselesaikan pada separuh kedua 2022. - DagangNews.com