KUALA LUMPUR 17 Julai - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menggesa industri pembinaan dikecualikan daripad pembayaran levi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).
Permintaan itu dibuat berikutan kebimbangan mengenai HRD Corp, yang telah menjadi perhatian selepas beberapa isu dibangkitkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara.
Antaranya termasuk pengeluaran mencurigakan, perjanjian hartanah meragukan dan pelaburan berisiko.
"Kami mengekalkan pendirian kami bahawa levi kepada HRD Corp tidak memanfaatkan pemain industri," kata Presiden Rehda, Datuk Ho Hon Sang dalam satu kenyataan semalam.
Rehda dalam kenyataan media berkata, industri pembinaan ditadbir oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang mengutip levi 0.125% ke atas jumlah nilai kerja pembinaan untuk tujuan latihan dan pembangunan merujuk Akta CIDB 1994 (Akta 520).
“Menurut Laporan Tahunan CIDB 2022, lembaga itu mengutip RM216.3 juta levi daripada pemain industri, dan kami menganggarkan angka 2023 akan meningkat memandangkan pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebanyak 3.7% tahun lepas, seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia,” kata Rehda.
Sebagai tambahan kepada levi CIDB, pemain industri berkaitan arkitek, jurutera, juruukur bahan, perancang bandar dan juruukur tanah sudah pun diwajibkan untuk membayar yuran pembaharuan tahunan pendaftaran dan tertakluk kepada pembelajaran dan latihan wajib di bawah program Pembangunan Profesional Berterusan.
Rehda menekankan 1% lagi gaji bulanan pekerja industri tersebut dibayar mandatori kepada HRD Corp sejak peluasan Akta Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia 2001 (Akta 612) pada 2021.
“Pengenaan levi tambahan ke atas industri bangunan menjejaskan kewangan syarikat dan kami percaya sekarang adalah masa untuk menilai semula keperluan ini,” tambahnya.
Rehda berpendapat bahawa levi HRD Corp adalah salah satu daripada banyak faktor penyumbang kepada peningkatan kos pembinaan.
Oleh itu, pemain industri perlu dikecualikan dan keadaan harus kembali seperti sebelum 1 Mac 2021.
"Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara itu dengan serius, selaras dengan usaha mereka mengurangkan kos perniagaan.
“Kami bersedia untuk melibatkan kerajaan dan entiti berkaitan untuk menjelaskan pandangan kami," kata persatuan itu.- DagangNews.com