REIT: Prestasi aset perindustrian dijangka kekal stabil didorong peningkatan kadar sewa | DagangNews Skip to main content

REIT: Prestasi aset perindustrian dijangka kekal stabil didorong peningkatan kadar sewa

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - Prestasi aset perindustrian dijangka kekal stabil dengan kadar sewa dijangka meningkat didorong permintaan yang sihat bagi aset berkenaan dalam dalam sektor.

 

MIDF Research berkata, industri perhotelan juga dijangka terus pulih pada separuh kedua tahun ini dipacu peningkatan kehadiran pelancong kerana Malaysia menawarkan kemasukan tanpa visa kepad pelancong daripada beberapa negara yang akan mengukuhkan industri itu.

 

Katanya, sektor peruncitan juga diramal mencatatkan perkembangan organik dengan pengembalian sewa yang positif.

 

"Kami menjangkakan prospek positif untuk sektor Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) diterajui segmen perindustrian dan peruncitan.

 

"Secara keseluruhannya, kami mengekalkan pandangan positif terhadap sektor itu dengan Sunway REIT (beli, TP:RM1.70) dan Axis REIT (beli, TP: RM2.02) menjadi pilihan Utama," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MIDF Research kekal positif terhadap Sunway REIT kerana sumbangan daripada bahagian runcitnya sepatutnya kekal stabil dalam jangka panjang berikutan pengembalian sewa yang positif.

 

Katanya, selain itu, prospek bahagian hotel juga bertambah baik dengan jangkaan ketibaan pelancong yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, kami menyukai Axis REIT kerana pendedahannya kepada aset industri yang disokong oleh permintaan yang sihat untuk ruang industri.

 

Pengambilalihan aktifnya juga akan merangsang pertumbuhan pendapatan dalam jangka panjang.

 

"Kami melihat pengambilalihan aktif Axis REIT menunjukkan prospek stabil aset industri di Malaysia yang disokong oleh permintaan yang sihat untuk gudang dan ruang industri," katanya.- DagangNews.com