Rekod jam penerbangan tinggi, kerajaan perlu segerakan pembelian helikopter baharu TUDM | DagangNews Skip to main content

Rekod jam penerbangan tinggi, kerajaan perlu segerakan pembelian helikopter baharu TUDM

Helikopter H225M TUDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 4 April - Airbus Helicopters dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bulan lalu meraikan pencapaian 30,000 jam penerbangan terkumpul helikopter H225M (EC725AP) tertinggi di rantau Asia Pasifik.

 

Bagi pengeluar helikopter tersebut, rekod penerbangan ini menunjukkan kemampuan, prestasi dan daya tahan lasak pesawat sepanjang dioperasikan.

 

TUDM mengoperasikan 12 buah helikopter jenis ini sejak diterima pada tahun 2012.

 

Merekodkan penerbangan terkumpul sehingga 30,000 menunjukkan bagaimana helikopter itu telah dioperasikan dengan begitu baik, malah pada masa diselenggara dengan sempurna.

 

 

 

 

Helikopter
Pencapaian 30,000 jam penerbangan H225M merupakan satu rekod kepada TUDM.

 

Pujian wajar diberikan kepada kru senggaraan TUDM yang berjaya menyenggara helikopter ini mengikut tatacara yang dikehendaki.

 

Begitu juga peranan vendor swasta yang diberikan kontrak untuk membuat senggaraan bahagian-bahagian tertentu helikopter ini yang tidak dilakukan oleh kru TUDM.

 

Ini kerana Malaysia memang diakui sebagai hab senggaraan dalam industri aeroangkasa antara yang terbaik di rantau Asia.

 

Pada tahun lalu, Airbus Helicopters turut memberikan anugerah sama kepada skuadron pesawat H225M apabila merekodkan 20,000 jam penerbangan bagi tahun 2022. 

 

Helikopter
Helikopter H225M melakukan operasi heliborne.

 

Bermakna, dalam tempoh setahun pesawat-pesawat H225M ini telah merekodkan 10,000 jam penerbangan.

 

Secara kiraan kasar sepanjang 11 tahun digunakan sejak 2012 hingga 2023 setiap helikopter H225M TUDM ini telah terbang lebih 2,700 jam.

 

Ini menunjukkan H225M mengalami tempo operasi yang tinggi terutamanya sejak khidmat helikopter Sikorsky S61-A Nuri ditamatkan.

 

Imbas kembali, pembelian helikopter ini adalah rentetan daripada nahas helikopter Nuri berdekatan Terowong Genting Sempah, Genting Highlands, Pahang pada 13 Julai 2007.

 

Pesawat dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur menuju Pangkalan Udara Kuantan.

 

Helikopter
Helikopter Nuri.

 

Helikopter

 

Mengikut perancangan ketika itu ialah untuk mendapatkan 24 buah helikopter EC725AP melalui dua program perolehan.

 

Ini bagi memastikan TUDM mempunyai cukup pesawat pengganti apabila tiba masa Nuri ditamatkan.

 

Bagaimana pun, 12 buah helikopter EC725AP kekal dioperasikan TUDM sehingga kini menjadikan pesawat tersebut sebagai kuda utama dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Sebab itu, rekod penerbangan 30,000 jam yang dicapai itu bukanlah suatu pencapaian sebaliknya pada satu sudut menunjukkan sejauhmana helikopter ini telah dilenjan pada tahap maksimum.

 

Helikopter

 

Disebabkan hanya ada 12 buah pesawat maka helikopter sama digunakan untuk pelbagai tugasan sama ada operasi, rondaan, pengawasan, misi kemanusiaan, operasi mencari dan menyelamat sehinggalah membawa penerbangan ehsan.

 

Helikopter H225M pernah terlibat dalam operasi menyelamat pendaki terkandas di Gunung Kinabalu semasa peristiwa gempa bumi Sabah 2015.

 

Selain kegunaan TUDM, helikopter ini juga digunakan dalam operasi heliborne bagi menyokong latihan lintas udara Briged Para Tentera Darat.

 

Adalah tidak mustahil sekiranya helikopter-helikopter H225M TUDM ini memecahkan rekod lagi tahun hadapan dengan 35,000 atau 40,000 jam penerbangan jika ia digunakan secara optimum.

 

Helikopter
Pesawat H225M melakukan operasi mencari dan menyelamat.

 

Sepertimana diketahui, pada ketika ini perolehan 12 buah helikopter tambahan untuk TUDM sedang giat dilaksanakan dan dilakukan secara tender terbuka.

 

Pada awal Januari lalu, Menteri Pertahanan menyatakan perolehanan tersebut antara fokus Kementerian Pertahanan pada tahun ini.

 

Diharapkan perolehan ini berjalan dengan lancar agar beban melakukan penerbangan dan pelbagai misi tidak lagi disandarkan pada 12 helikopter H225M sedia ada. - DagangNews.com