Renee Bullock-Cann
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Julai - HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC Malaysia) telah melantik Renee Bullock-Cann sebagai Ketua Pengurusan Harta dan Perbankan Peribadi baharu kumpulan.
Dalam satu kenyataan, HSBC Malaysia menjelaskan Bullock-Cann bakal menggantikan Tara Latini yang telah dilantik sebagai Ketua Pengurusan Harta dan Perbankan Peribadi di Amerika Syarikat (AS) pada April 2021.
Bullock-Cann bakal melaporkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne dan Ketua Rantau, Harta dan Perbankan Peribadi di Asia Pasifik yang mempunyai lebih daripada 23 tahun pengalaman dalam industri kewangan.
Menurut Milne, Bullock-Cann mempunyai pengalaman luas dalam perbankan runcit, rekod prestasi yang kukuh dalam memacu pertumbuhan perniagaan dan pengetahuan digital.
“Matlamat kami mudah : kami mahu menjadi sebuah bank yang dicari oleh rakyat Malaysia bagi keperluan antarabangsa mereka.
"Kami akan memanfaatkan rangkaian antarabangsa yang tiada tandingan, menambah baik jenis penyelesaian harta dan menumpukan pembangunan keupayaan digital termasuk fungsi mudah alih, teknologi di cawangan bank dan kemahiran digital pekerja kami,” katanya.
Bullock-Cann sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Pengedaran bagi Harta dan Perbankan Peribadi di HSBC Malaysia.
Sebelum berkhidmat di Malaysia pada 2019, Bullock-Cann merupakan Ketua Pengurusan Harta dan Perbankan Peribadi di HSBC Bermuda.
Menurut kumpulan, Malaysia merupakan pasaran utama buat pertumbuhan HSBC memandangkan aspek pengurusan harta peribadi pesat membangun.
Sebagai sebahagian matlamat kumpulan untuk menjadi bank utama bagi keperluan pengurusan harta dan perbankan peribadi di Malaysia, bank itu membuat pelaburan tinggi dalam penawaran digital dan penyelesaian harta serta pelanggan untuk menyokong kerjaya mereka dan termasuk staf HSBC Malaysia. - DagangNews.com