Reneuco, Zamil Steel Buildings Vietnam teroka potensi kerjasama bina bangunan perindustrian | DagangNews Skip to main content

Reneuco, Zamil Steel Buildings Vietnam teroka potensi kerjasama bina bangunan perindustrian

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan - Reneuco menerusi anak syarikatnya, Reneuco Development Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Zamil Steel Buildings Vietnam Co., Ltd (ZSBV) untuk meneroka potensi kerjasama dan mencari peluang perniagaan dalam pembinaan bangunan perindustrian di Malaysia dan luar negara.

 

ZSBV merupakan syarikat yang terlibat dalam pembuatan keluli pra-kejuruteraan bangunan.

 

Di bawah kerjasama ini, Reneuco Development dan ZSBV akan memanfaatkan kepakaran masing-masing untuk pertumbuhan perniagaan yang berpotensi dan bermanfaat dengan memberi tumpuan kepada segmen pembangunan bangunan perindustrian.

 

Menurut Reneuco dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MoU tersebut membuka peluang kepadanya untuk mengembangkan penawaran produk dan keupayaan teknikalnya.

 

Ia menambah bahawa ia dapat bekerjasama dengan ZSBV untuk projek melibatkan pembinaan struktur keluli dalam sektor pembangunan bangunan perindustrian.

 

“MoU itu juga menandakan usaha Reneuco untuk meneroka peluang perniagaan baharu bagi meningkatkan nilai bagi pemegang sahamnya dan sejajar dengan hasrat syarikat untuk meluaskan kehadiran industrinya dalam sektor pembangunan, di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

 

Reneuco berkata, kerja-kerja untuk cadangan dalam MoU akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman atau pinjaman bank oleh Syarikat.

 

Ia menjelaskan bahawa MoU tersebut tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan serta pegangan saham pemegang saham besar syarikat, serta tidak akan kesan material ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham serta penggearan untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2024.

 

“MoU ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan syarikat apabila pelaksanaan perjanjian rasmi telah menjadi nyata sepenuhnya,” tambahnya.

 

Saham Reneuco ditutup rendah 1 sen atau 5.9% kepada 16 sen hari ini dengan permodalan pasarannya bernilai RM179.5 juta.  - DagangNews.com