KUALA LUMPUR 7 Dis - Reputasi Malaysia akan terjejas sekiranya menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP), seperti gesaan beberapa kumpulan sejak akhir-akhir ini, tegas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).
Ia menekankan bahawa berdasarkan kepada Analisis Kos-Faedah (CBA) yang diterbitkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada Julai 2022, menjadi negara anggota yang meratifikasi CPTPP akan memberi keuntungan kepada Malaysia dari segi pertumbuhan KDNK dan aktiviti perdagangan.
Sehubungan itu, IDEAS menyeru satu penilaian berterusan dilakukan terhadap kesan CPTPP untuk memastikan persetujuan awam dan meminimumkan kos pelarasan jangka pendek.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr. Tricia Yeoh berkata, Malaysia mengambil masa kira-kira lapan tahun rundingan sebelum akhirnya menandatangani perjanjian ini pada 2018 dan selepas itu ia mengambil masa empat tahun lagi sebelum akhirnya meratifikasi perjanjian ini pada akhir tahun ini.
Katanya, dengan menarik diri ketika ini akan memberi kesan negatif kepada kredibiliti antarabangsa Malaysia, dan mungkin tidak akan menggalakkan pelaburan asing kerana merekamahukan kestabilan dalam negara rakan kongsi.
"Menarik diri bermakna pengeksport Malaysia akan kehilangan capaian kepada pasaran CPTPP yang semakin meningkat, yang mungkin melibatkan negara-negara seperti United Kingdom (UK), China, Ecuador, Uruguay, Costa Rica dan Taiwan pada masa hadapan.
"Kami percaya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang baru dilantik akan membuat keputusan yang bijak selepas mendapatkan nasihat daripada para pemain industri dan penasihat dalam kementerian," katanya dalam kenyataan pada Isnin lalu.
CPTPP ialah satu perjanjian perdagangan bebas mega yang melibatkan 11 ahli dari seluruh kawasan Lingkaran Pasifik.
Pada 2019, ekonomi ahli CPTPP secara kolektif merangkumi 13% daripada KDNK global. Tidak seperti perjanjian perdagangan bebas (FTA) tradisional yang lain, CPTPP melangkaui penyediaan capaian pasaran untuk barangan, perkhidmatan dan pelaburan sahaja.
Perjanjian itu juga menyediakan piawaian berkualiti tinggi mengenai isu seperti perusahaan milik negara, perolehan kerajaan, alam sekitar dan isu buruh.
Piawaian tinggi sedemikian apabila dilaksanakan secara kolektif akan meningkatkan ketelusan dan tadbir urus dalam amalan perdagangan dan pelaburan untuk semua ahli CPTPP yang mengambil bahagian.
CBA telah mengunjurkan bahawa ratifikasi akan meningkatkan KDNK sebanyak RM248.2 bilion dalam tempoh 2021 hingga 2030, sekali gus meningkatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 1.9% berbanding angka asas pada 2030.
Selain itu, CBA juga mengunjurkan bahawa imbangan perdagangan Malaysia akan mencecah sebanyak RM235.1 bilion pada 2030, kekal dalam lebihan pada 8.5% daripada KDNK dalam tahun yang sama.
Sementara itu, Pengarah Penyelidikan IDEAS, Dr Juita Mohamad berkata, apabila ratifikasi telah berkuat kuasa, negara boleh menjangkakan penurunan kadar tarif dan penghapusan instrumen bukan tarif, yang akan dirasai hampir serta-merta oleh pengguna.
Katanya, dalam jangka sederhana hingga panjang, pekerja dijangka mendapat manfaat apabila gaji mereka meningkat mengikut pasaran dan keperluannya.
"Di samping itu, pelbagai usaha kerajaan untuk meningkatkan kemahiran dan menyokong PKS, termasuk perusahaan bumiputera, perlu dipertingkatkan supaya ekosistem yang menyokong perniagaan dapat dibangunkan untuk meningkatkan diri mereka kepada piawaian yang diharapkan dalam perjanjian perdagangan ini.
"Dalam jangka panjang, kami menjangkakan perniagaan Malaysia akan berkembang maju dan dapat mengambil kesempatan daripada peruntukan dalam CPTPP untuk meningkatkan capaian pasaran mereka.
"Selain itu, ekonomi Malaysia secara keseluruhan akan mengalami keuntungan kebajikan dalam jangka masa panjang," jelasnya.
IDEAS juga menyeru sokongan tambahan terhadap PKS dibuat untuk meningkatkan daya saing dan ketersediaan pasaran mereka supaya mereka juga boleh mengambil bahagian secara berkesan dalam rantaian bekalan CPTPP. - DagangNews.com