KUALA LUMPUR 2 Feb – Reservoir Link Energy Bhd. menerusi anak syarikat miliknya, Skyline Energy Sdn. Bhd. bercadang mengambil alih 90% kepentingan dalam PT Eco Power Engineering (EPE) Indonesia pada harga RM12.81 juta secara tunai.
Ini menyaksikan Skyline Energy memeterai lembaran terma pada 31 Januari 2023 dengan PT Sumpratama Juru Engineering, pemilik EPE, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia.
EPE diperbadankan di Indonesia pada 20 Februari 2013 merupakan syarikat liabiliti terhad yang berperanan sebagai syarikat bertujuan khusus (SPV) untuk memeterai perjanjian pembelian kuasa (PPA) dengan Perusahaan Listrik Negara (PLN), syarikat pembekal keperluan elektrik Indonesia.
PPA tersebut adalah untuk Projek Hidro Mini 9.6MW di Sungai Lawe Mamas, Wilayah Sungai Alas-Singkil, Acheh, Indonesia.
Reservoir Link berkata, pengambilalihan itu merupakan peluang pertambahan pendapatan serta-merta selepas projek tersebut siap.
“Cadangan pengambilalihan itu dijangka memberi peluang kepada syarikat untuk membina loji janakuasa hidro mini 9.6MW selaras dengan model perniagaan pemilikan aset syarikat untuk kemampanan dividen jangka panjang.
“Syarikat juga boleh mengembangkan aliran pendapatan dan mengukuhkan lagi kedudukannya dalam sektor tenaga dan utiliti yang mampan,” katanya.
Tambah syarikat itu lagi, pengambilalihan itu dijangka memberi aliran pendapatan berulang yang menguntungkan, justeru, meningkatkan keuntungan syarikat dan memberi kebolehlihatan perolehan yang lebih baik untuk jangka panjang.
Pembelian tersebut dijangka dibiayai oleh dana dalaman atau pinjaman bank tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian muktamad dan dijangka selesai dalam 14 hari selepas semua syarat terdahulu sudah dipenuhi atau diketepikan.
Pengumuman ini dibuat kurang seminggu selepas syarikat itu meraih kontrak bernilai RM11.4 juta untuk bekalan struktur pelekap untuk pembangunan loji fotovoltaik solar berskala besar (LSSPV) daripada Fabulous Sunview Sdn Bhd, anak syarikat Sunview Group melalui Founder Energy SB.
Produk yang akan dibekalkan termasuk keluli karbon bersalut dan struktur atas keluli karbon tergalvani celup panas yang akan dihantar ke loji fotovoltan LSS di lokasi projek antara Januari dan April.
Public Bank Investment Bank dalam nota penyelidikan pada 27 Januari berkata, perolehan kontrak itu adalah perkembangan positif syarikat kerana ia semakin mendalami penerokaannya ke dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE).
“Kami bagaimanapun menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada berprestasi rendah (underperform) dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 31 sen,” katanya.
Ia juga menyatakan sementara Reservoir Link sedang membina momentumnya dalam mendapatkan kontrak RE baharu, firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap prospek pendapatan jangka pendek bagi segmen ini di tengah-tengah tekanan inflasi. – DagangNews.com