Reservoir Link catat hasil tertinggi sebanyak RM41.4 juta bagi 3QFY22 | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link catat hasil tertinggi sebanyak RM41.4 juta bagi 3QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - Reservoir Link Energy Berhad mencatatkan hasil tertinggi sebanyak RM41.4 juta bagi 3QFY22 iaitu peningkatan 8.5% berbanding RM38.2 juta pada tahun sebelumnya. 

 

Keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai kumpulan itu masing-masing sebanyak RM2.6 juta dan RM1.7 juta.

 

Peningkatan dalam hasil kumpulan disumbangkan oleh segmen tenaga boleh diperbaharui yang menyumbang 78.5% daripada jumlah hasil pada RM32.5 juta untuk 3QFY22.

 

Segmen tenaga boleh diperbaharui mencatatkan lonjakan hasil sebanyak 410.4% berbanding tempoh yang sama pada 2021.

 

Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, pihaknya berbangga kerana kumpulan itu berjaya mencatatkan hasil suku tahun tertinggi sejak penyenaraiannya dan penglibatannya dalam segmen tenaga boleh diperbaharui mula menunjukkan kemajuan yang menjadi penyumbang utama kepada kumpulan.

 

Katanya, selaras dengan dorongan penyahkarbonan global, banyak negara sedang menuju ke arah peralihan tenaga bersih dan ia akan merangsang permintaan untuk sumber tenaga boleh diperbaharui.

 

"Kami yakin segmen tenaga boleh diperbaharui akan terus berkembang dengan trend pasaran yang kukuh ini.

 

"Baru-baru ini, terdapat peningkatan dalam aktiviti perniagaan untuk industri minyak dan gas selaras dengan penstabilan harga minyak mentah.

 

"Pasukan kami masih aktif mengembangkan segmen minyak dan gas dengan mengambil bahagian dalam tender projek baharu dan membawa masuk lebih banyak teknologi baharu.

 

"Kami menjangka prestasi segmen minyak dan gas akan bertambah baik dan akan menyumbang kepada pendapatan kumpulan pada suku akan datang," katanya. - DagangNews.com