Reservoir Link raih projek pengujian telaga, tebuk salur tiub daripada Petronas Carigali | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link raih projek pengujian telaga, tebuk salur tiub daripada Petronas Carigali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 April - Reservoir Link Energy Berhad menerusi anak syarikatnya Reservoir Link Sdn. Bhd. menerima surat lantikan daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. bagi menyediakan Penyediaan Pengujian Telaga dan Tebuk Salur Tiub (TCP) untuk Kontraktor Susunan Petroleum (PAC) untuk Pakej II: Perkhidmatan Ujian Telaga Ringan.

 

Reservoir Link dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak tersebut adalah untuk tempoh tiga tahun bermula 6 April 2022 hingga 5 April 2025.

 

Bagaimanapun, nilai projek berkenaan tidak didedahkan.

 

Katanya, skop kerja utama bagi pelantikan tersebut adalah untuk menyediakan, membekal dan menyelenggara peralatan, peralatan, aksesori dan alat ganti yang diperlukan bagi perkhidmatan ujian telaga permukaan.

 

Ia juga bagi penyediaan perkhidmatan pensampelan, perkhidmatan sokongan berkaitan ujian telaga terutamanya untuk pelantar dan platform luar pesisir dan untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan kepada penghasil hidrokarbon, operasi ujian telaga dan pemerolehan data.

 

BACA JUGA: Reservoir Link terima kontrak penyediaan perkhidmatan pemotongan tiub daripada Roc Oil Sarawak

 

Pengarah Eksekutifnya, Thien Chiet Chai berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumkan pelantikan semula oleh Petronas Carigali dan berterima kasih di atas sokongan mereka selama ini.

 

"Saya percaya bahawa penekanan terhadap penyediaan perkhidmatan menjadi pendrong utama untuk kami berada di sini dan ia secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada pelanggan terhadap kemampuan kami.

 

"Kepercayaan pelanggan terhadap kami adalah penting kerana ia adalah asas utama untuk mencapai kejayaan jangka panjang," katanya.

 

Terdahulu, Reservoir Link berjaya mendapatkan kontrak daripada Roc Oil (Sarawak) Sdn. Bhd. bagi penyediaan pemotong tiub dan pemotongan tiub.

 

Skop kerja untuk kontrak berkenaan adalah bagi menyediakan perkhidmatan pemotong tiub dan pemotongan tiub untuk Kempen Kerja Hidraulik D35 dan J4 yang akan dilaksanakan pada 2022. - DagangNews.com