Reservoir Link rancang ceburi perniagaan baharu bagi tenaga boleh diperbaharui selain solar | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link rancang ceburi perniagaan baharu bagi tenaga boleh diperbaharui selain solar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Nov - Reservoir Link Energy Berhad merancang untuk menceburi bidang perniagaan baharu bagi segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) selain tenaga solar termasuk tenaga hidro, biojisim, biogas dan geoterma.

 

Pengerusi Reservoir Link, Datuk Tai Hee berkata, ia termasuk usaha kumpulan menceburi sektor tenaga hidro dan sektor rawatan air sisa di Indonesia.

 

Beliau berkata, menerusi anak syarikatnya, RL Hydro Assets Sdn. Bhd., pihaknya memperoleh 90% kepentingan ekuiti dalam PT Eco Power Engineering, sejajar dengan model pemilikan aset untuk kemampanan dividen jangka panjang.

 

"Pengambilalihan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kami dalam sektor tenaga mampan tetapi juga menjanjikan aliran pendapatan berulang yang menguntungkan melalui loji kuasa hidro 12 MW," katanya dalam laporan tahunan 2023 di Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pada masa yang sama, Tai Hee berkata, anak syarikat dengan 85% pegangan kumpulan, PT EnviroTech Akva Indonesia memperoleh perjanjian 10 tahun dengan PT Unilever Oleochemical Indonesia bagi membina dan mengendalikan loji rawatan air sisa.

 

Katanya, usaha itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan kumpulan dalam sektor utiliti mampan tetapi juga menawarkan pendapatan stabil dan berulang selain memberikan keterlihatan yang lebih besar terhadap pendapatan masa depan syarikat.

 

"Langkah strategik dalam kuasa hidro dan rawatan air sisa ini bukan sekadar kepelbagaian perniagaan tetapi dilihat sebagai langkah ke arah masa depan yang lebih mampan dan menguntungkan," katanya.

 

Beliau berkata, baru-baru ini kumpulan itu dipilih sebagai pengeluar tenaga solar bersama rakan kongsi konsortium kami Sumitomo Corporation dan Maqo Engineering Sdn. Bhd. di bawah Program Kuasa Hijau Korporat memberi petanda baik untuk aspirasi RE.

 

Pada masa yang sama, terdapat pelbagai peluang menerusi teras strategik negara seperti MyRER, DEB 2040, BCX, dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia (NETR) semuanya bekerjasama untuk memperkukuh fokus strategik negara mengenai tenaga lestari

 

"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai rakan kongsi strategik dan mengenal pasti peluang baharu, kami melakukannya dengan perspektif yang seimbang, mengiktiraf kedua-dua potensi pertumbuhan dan cabaran persekitaran ekonomi global," katanya.

 

Bagi tempoh tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023, perolehan kumpulan meningkat 72% kepada RM193.3 juta berbanding RM112.4 juta pada tahun kewangan sebelumnya. - DagangNews.com