Reservoir Link tandatangan perjanjian pembinaan loji rawatan air sisa di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link tandatangan perjanjian pembinaan loji rawatan air sisa di Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 April - Reservoir Link Energy Berhad menandatangani perjanjian untuk melaksanakan pembinaan, pentauliahan dan operasi loji rawatan air sisa baharu di Indonesia.

 

Anak syarikatnya, PT EnviroTech Akva Indonesia memeterai perjanjian dengan PT Unilever Oleochemical Indonesia (PTUOI) untuk kilang baharu di Sei Mangkei, Sumatera Utara.

 

"Di bawah perjanjian itu, Reservoir Link akan menggunakan model 'bina, miliki, kendalikan dan selenggara'," katanya dalam satu kenyataan.

 

Perjanjian itu akan berlangsung selama 10 tahun bermula dari tarikh operasi komersial.

 

Selepas pembinaan dan pentauliahan loji, kumpulan itu akan dilantik untuk menerima, merawat dan membuang semua air sisa yang disalurkan ke kemudahan PTUOI, serta mengendali dan menyelenggara keseluruhan sistem.

 

Loji baharu itu akan disepadukan dengan loji sedia ada untuk penerimaan dan rawatan input efluen dan pelepasan keluaran efluen.

 

Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, perjanjian itu merupakan pencapaian baharu bagi kumpulan itu kerana mempelbagaikan perniagaan termasuk rawatan air sisa sambil mengembangkan kehadirannya di Indonesia.

 

“Kami melihat potensi besar datang daripada segmen ini kerana ia akan membolehkan kumpulan menjana pendapatan berulang yang stabil sepanjang tempoh 10 tahun yang seterusnya membolehkan kami mempunyai keterlihatan pendapatan lebih baik untuk masa depan.

 

“Melihat ke hadapan, kami merancang untuk terus meninjau pelbagai peluang perniagaan bagi mengembangkan kumpulan ini dan menghasilkan nilai kepada pihak berkepentingan kami," katanya. - DagangNews.com