Reservoir Link terima kontrak penyediaan perkhidmatan pemotongan tiub daripada Roc Oil Sarawak | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link terima kontrak penyediaan perkhidmatan pemotongan tiub daripada Roc Oil Sarawak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Reservoir Link Energy Berhad mengumumkan, anak syarikatnya, Reservoir Link Sdn. Bhd. menerima surat lantikan daripada Roc Oil (Sarawak) Sdn. Bhd. bagi penyediaan pemotong tiub dan pemotongan tiub.

 

Reservoir Link dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak tersebut adalah untuk tempoh setahun bermula 11 April 2022 hingga 10 April 2023.

 

Bagaimanapun, nilai projek berkenaan tidak didedahkan.

 

Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan sepanjang tempoh kontrak itu berlangsung.

 

Skop kerja untuk kontrak berkenaan adalah bagi menyediakan perkhidmatan pemotong tiub dan pemotongan tiub untuk Kempen Kerja Hidraulik D35 dan J4 yang akan dilaksanakan pada 2022.

 

Difahamkan, kontrak berkenaan adalah atas dasar 'call-out' dengan arahan kerja dikeluarkan oleh Roc Oil berdasarkan jadual pampasan yang ditetapkan.

 

Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, pihaknya berbangga untuk mengumumkan penerimaan kontrak ketiga dalam segmen minyak dan gas.

 

Katanya, momentum perniagaan mereka adalah selari dengan peningkatan dalam aktiviti perniagaan dan pihaknya memberi jaminan bahawa semua kerja-kerja akan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan kerana mereka tidak akan berkompromi dengan kualiti perkhidmatan yang disediakan.

 

"Kami menjangkakan permintaan untuk perniagaan kami akan terus meningkat dan kami berharap dapat mengumumkan lebih banyak projek baharu pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com