Reservoir Link terima LOA daripada ExxonMobil untuk kerja-kerja penyediaan peralatan, perkhidmatan cucian struktur | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link terima LOA daripada ExxonMobil untuk kerja-kerja penyediaan peralatan, perkhidmatan cucian struktur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - Syarikat pembekal perkhidmatan berkaitan tenaga, Reservoir Link Energy Berhad mengumumkan bahawa anak syarikatnya, Reservoir Link Sdn. Bhd. menerima surat lantikan (LOA) daripada ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (Exxonmobile) bagi Penyediaan Peralatan dan Perkhidmatan Pencucian Struktur.

 

Reservoir Link dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, skop kerja kumpulan itu adalah membekalkan peralatan atau sistem yang memenuhi keperluan ExxonMobil dan berkemampuan membersihkan struktur yang ditetapkan selain memberi jaminan terhadap perkhidmatan itu. 

 

Kumpulan itu juga perlu membekalkan kakitangan yang berkelayakan dan berpengalaman untuk menjalankan kerja-kerja bagi memenuhi objektif kontrak berkenaan.

 

Menerusi kontrak itu juga, kakitangan yang terlibat perlu menyediakan laporan bertulis tentang hasil setiap kerja dan penilaian telaga.

 

Reservoir Link juga perlu menyediakan perkhidmatan rundingan teknikal untuk perancangan kejuruteraan dan penyelesaian bagi mencapai objektif ExxonMobil yang merangkumi perisian permodelan.

 

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Resevoir Link, Thien Chiet Chai berkata, pihaknya berbangga kerana berjaya mendapatkan satu lagi kontrak untuk segmen minyak dan gas selain menghargai keyakinan ExxonMobil terhadap kemampuan mereka untuk menjayakan projek berkenaan.

 

"Kami akan terus aktif untuk mendapatkan tender di dalam segmen minyak dan gas selain segmen perniagaan solar dan tenaga yang boleh diperbaharui bagi memberikan nilai terbaik kepada pemegang saham," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, Reservoir Link berjaya mendapatkan kontrak bernilai RM14.9 juta daripada anak syarikat Solarvest Holdings Berhad iaitu Atlantic Blue Sdn. Bhd. 

 

Menerusi kontrak itu, anak syarikat Reservoir Link, Founder Energy akan bertanggungjawab untuk kerja-kerja kejuruteraan, pembinaan dan pentauliahan stesen jana tenaga 10.95MW solar fotovoltaik (PV) berskala besar di Perak.  

Kerja-kerja di stesen jana tenaga itu dijangka siap sepenuhnya pada 30 November 2022. - DagangNews.com