Resort World Genting dijangka pacu pemulihan pendapatan Genting Malaysia | DagangNews Skip to main content

Resort World Genting dijangka pacu pemulihan pendapatan Genting Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Julai - Permintaan dan bekalan yang tidak seimbang di Resort World Genting (RWG) menjadi antara punca pendapatan Genting Malaysia Berhad terjejas pada 1QFY22.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, perkara itu terjadi selepas kumpulan itu meningkatkan kapasiti operasi mereka dan permintaan menurun akibat penularan kes Omicron.

 

"Kami menyukai kumpulan ini kerana melihat RWG sebagai salah satu penerima manfaat utama daripada pembukaan semula sempadan terutamanya penambahan taman tema yang melengkapkan tarikan permainannya yang menjadikannya tempat pelancongan menarik untuk semua.

 

"Selain itu, kelemahan nilai ringgit semasa juga memberikan kelebihan kepada RWG dalam menarik lebih ramai pelancong," katanya dalam satu nota kajian.

 

Mengulas mengenai SkyWorlds, firma penyelidikan itu berkata, kehadiran taman tema itu dijangka menjadi pemcau pemulihan aliran tunai untuk kumpulan itu.

 

“Pembukaan SkyWorlds membolehkan RWG menarik pasaran penduduk Islam yang belum diterokai sebelum ini yang mewakili kira-kira 63% penduduk Malaysia.

 

"Genting Malaysia dapat memanfaatkan potensi penuh SkyWorlds pada 2H22 kerana semua tarikan dalam SkyWorlds akan dibuka, peningkatan kapasiti daripada kelonggaran sekatan dan pembukaan semula Hotel Genting SkyWorlds dalam taman tema.

 

"Peningkatan kehadiran pengunjung ke taman tema akan memberi kesan limpahan positif kepada tempat lain di RWG,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM3.91. - DagangNews.com