Retransformasi Maxis seru syarikat Malaysia atur semula strategi pembangunan digital | DagangNews Skip to main content

Retransformasi Maxis seru syarikat Malaysia atur semula strategi pembangunan digital

(Dari kiri) Ketua Penghantaran IT Maxis, Ng May Ching, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus dan Ketua Produk Perusahaan Maxis, Selvakumar Rajasekaran.

(Dari kiri) Ketua Penghantaran IT Maxis, Ng May Ching, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus dan Ketua Produk Perusahaan Maxis, Selvakumar Rajasekaran.
 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Maxis melancarkan kempen terbaharunya iaitu Retransformasi untuk menyeru syarikat di negara ini mengatur semula strategi pembangunan dan transformasi digital mereka.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus berkata, tindakan tersebut dilihat perlu selepas pihaknya menilai kepada hasil tinjauan Digital Technology Assessment 2020 yang dijalankan oleh International Data Corporation (IDC) baru-baru ini.

"Dapatan utama daripada tinjauan itu menunjukkan syarikat di negara ini tidak mempunyai strategi jangka panjang bagi mengubah perniagaan masing-masing.

"93% syarikat di Malaysia gagal meraih keuntungan hasil daripada penggunaan Cloud ekoran cabaran migrasi dan kekurangan pengetahuan dalam penggunaan Cloud," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tinjauan tersebut memberi gambaran menyeluruh terhadap usaha digitalisasi syarikat di Malaysia termasuk penerapan, cabaran dan faedah melalui empat jenis pengaplikasian teknologi iaitu Cloud, Software-Defined Networking (SDN), dan keselamatan siber.

Hasil tinjauan itu juga mendapati, 61% syarikat di negara ini masih tidak jelas terhadap fungsi SDN kepada pengoperasian digital masing-masing.

Dalam pada itu, aspek keselamatan siber juga turut dipandang mudah dengan hanya 8% daripada keseluruhan responden yang menggunakan solusi keselamatan hujung-ke-hujung.

"Kajian yang kami jalankan itu memberi petunjuk untuk terus melakukan perubahan, dan kempen Retransformasi juga adalah inisiatif untuk membawa teknologi terbaik kepada syarikat di negara ini untuk terus maju.

Kempen Retransformasi Maxis adalah sebahagian daripada komitmen pihaknya untuk memberi pengalaman penyelesaian digital baharu melalui Maxis Programmable Network dengan perisian Metro Ethernet Forum (MEF) 3.0 yang pertama.

Maxis Programmable Network membolehkan syarikat mengukur kapasiti permintaan dengan tepat untuk memenuhi kehendak persekitaran IT yang mengalami perubahan pantas.

Melalui kempen tersebut, Maxis menggariskan enam penyelesaian digital korporat melalui Maxis Programmable Network;

  • Pengurusan Cloud - Perkhidmatan pengkomputeran Cloud yang diuruskan sepenuhnya dengan sokongan menyeluruh dari pakar yang diperakui, penyelesaian daripada penyedia Cloud terkemuka, dan penyambungan melalui rangkaian yang diperakui oleh Maxis MEF 3.0.
  • Pembuatan pintar - Menawarkan keupayaan turnkey bersepadu yang menyeluruh selain penyelesaian penyambungan mesin, pengurusan operasi pembuatan (MOM) dan aplikasi penyelenggaraan ramalan. 
  • Keselamatan pintar - Platform pengawasan video berpusat yang direka untuk meningkatkan kawalan dan pengurusan yang lebih pintar.
  • Pengurusan UC - Membolehkan pengguna membuat dan menerima panggilan melalui nombor talian tetap dengan Microsoft Teams, memberikan pengalaman pertemuan suara dan maya terbaik melalui mana-mana peranti, meningkatkan kerjasama antara pekerja dari mana sahaja, bila-bila masa.
  • Pengurusan SD-WAN - Membolehkan pasukan IT menguruskan rangkaian syarikat dengan kawalan, penglihatan, dan pengurusan kos yang lebih cekap.
  • Jalur lebar atas permintaan - Ciri perkhidmatan sambungan tetap Maxis seperti Akses Internet Dedicated (DIA), Litar Leasing Swasta Domestik (DPLC) dan Peralihan Label Multi-Protokol (MPLS) yang membolehkan pengguna meningkatkan kapasiti jalur lebar melalui portal layan diri. - DagangNews.com