KUALA LUMPUR 1 Sept – Revenue Monster, syarikat teknologi kewangan Malaysia yang berfokus dalam mempelopori pendigitalan perniagaan, akan menyenaraikan Sarawak Pay e-dompet dalam pilihan pembayarannya.
Kini, lebih daripada setengah juta pengguna Sarawak Pay e-dompet akan dapat melakukan transaksi dengan peniaga Revenue Monster yang telah mendapat manfaat daripada penyelesaian pembayaran bersatu Revenue Monster yang menampilkan penerimaan pembayaran daripada 14 e-dompet, MasterCard, Visa dan FPX untuk perbankan dalam talian.
Ketua Pegawai Komersial, Revenue Monster, Ken Lim berkata, dalam situasi pandemik COVID-19, kerjasama ini akan mendorong pembayaran tanpa tunai yang selamat dan mudah di antara perniagaan dan pengguna.
“Perniagaan dan pelanggan banyak bergantung pada penyelesaian pembayaran digital semudah membeli-belah barangan runcit pada masa ini.
''Kini, perniagaan yang berpusat di Sarawak dapat menggunakan tawaran unik Revenue Monster untuk mencapai lebih banyak pelanggan secara lancar,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Lucy Wong, Ketua Bahagian Perniagaan di SiliconNet Technologies Sdn Bhd, syarikat yang dilantik untuk mengendalikan Sarawak Pay berkata, sebagai ekosistem e-dompet milik Kerajaan Negeri Sarawak, pihaknya adalah komited dalam menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai kepada para pengguna.
Beliau berkata, pembayaran tanpa tunai adalah alat penting bagi setiap rakyat Malaysia pada waktu ini ketika kita terus berjuang melawan COVID-19.
''Kerjasama dengan Revenue Monster akan mempelbagaikan capaian Sarawak Pay e-dompet ke rangkaian peniaga-peniaga yang lebih luas. Kami berharap agar dapat menyediakan kumpulan perniagaan yang lebih besar di mana pengguna Sarawak Pay dapat melakukan transaksi pembayaran yang selamat dan lancar,” ujarnya. - DagangNews.com