Revenue Monster jalin usaha sama dengan Boost | DagangNews Skip to main content

Revenue Monster jalin usaha sama dengan Boost

 

SHAH ALAM 28 April - Revenue Monster, syarikat teknologi kewangan Malaysia yang mempelopori pendigitalan perniagaan, mengumumkan usaha sama baharu dengan pakar inovasi pembayaran eDompet tempatan, Boost dalam usaha meluaskan peluang pasaran digital bagi pengusaha makanan dan minuman (F&B) bersempena dengan bulan Ramadan.

 

Usaha sama ini akan menyaksikan penyelesaian stor atas talian Revenue Monster, à la carte diintegrasikan terus ke dalam aplikasi eDompet Boost. Dengan ini, pengusaha F&B akan dapat mencapai hampir 9 juta pengguna eDompet Boost, seterusnya meningkatkan jangkauan pasaran mereka.

 

“Usaha sama ini amat penting bagi kami dan para peniaga kerana ia membantu untuk mencapai langkah seterusnya dalam rancangan kami untuk meluaskan rangkaian bagi rakan niaga kami,” kata Amanda Chin, Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Monster.

 

“Tidak dinafikan, pandemik ini telah menunjukkan bahawa digital adalah amat penting untuk maju. Di Revenue Monster, kami telah memperuntukkan masa bertahun-tahun membantu ribuan perniagaan membuat transformasi ini.

 

"Kini, dengan usaha sama ini kami membuka lebih banyak potensi untuk kelengkapan digital kami menerusi akses kepada data pelanggan Boost untuk memacu perniagaan rakan niaga kami secara digital,” ujar beliau.

 

Penyelesaian à la carte yang dilancarkan awal 2020 ketika negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama, telah menarik beberapa rakan niaga F&B seperti Sushi King, Kenny Rogers Roasters dan Dragon-I. à la carte telah menjadi satu elemen penting dalam membantu kelangsungan perniagaan dan membantu menjana lebih pendapatan di kala pandemik melanda.

 

Dengan ciri dalam aplikasi, pengguna Boost kini boleh mencapai akses, membuat pesanan dan membayar untuk perkhidmatan penghantaran makanan yang ditawarkan oleh rakan niaga F&B Revenue Monster menerusi aplikasi tersebut.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata, dengan peningkatan rakyat Malaysia yang kini mengaplikasikan gaya hidup tanpa sentuh dalam norma baharu ini, usahasama dengan Revenue Monster ini adalah tepat pada masanya.

 

"Kami akan dapat memberikan lebih pilihan dan kemudahan kepada jutaan pengguna di samping meningkatkan pendapatan rakan niaga F&B kami,” kata beliau.

 

Demi menghargai pelanggan, Boost menawarkan pengguna mereka promosi istimewa sempena Ramadan. Bermula 13 April sehingga 14 Mei, pengguna yang berbelanja sebanyak RM25 ke atas untuk pesanan makanan daripada pengusaha terpilih akan menerima rebat automatik sebanyak RM2. Para peniaga ini meliputi sebahagian peniaga terpilih dari à la carte.

 

Ciri baharu à la carte pada Boost menawarkan yuran platform terendah iaitu pada 18% untuk peniaga. Sebagai manfaat tambahan kepada peniaga sempena Ramadan, bermula sekarang sehingga 31 Mei 2021, peniaga yang mendaftar dengan tempoh minima setahun akan menerima satu terminal bayaran secara percuma.

 

Usaha sama dengan Boost merupakan langkah seterusnya dalam strategi berterusan Revenue Monster untuk memacu sinergi dan kerjasama dalam pendigitalan dan industri e-dagang.

 

Usaha sama ini seiring dengan satu pengumuman oleh Revenue Monster baru-baru ini yang menampilkan usaha sama dengan Alipay, sebuah platform utama untuk pembayaran digital dan perkhidmatan kehidupan seharian. - DagangNews.com