Revenue Monster perkasa perusahaan mikro menerusi 2 ciri baharu | DagangNews Skip to main content

Revenue Monster perkasa perusahaan mikro menerusi 2 ciri baharu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Syarikat perintis pendigitalan perniagaan di Malaysia, Revenue Monster memperkenalkan dua ciri baharu iaitu eInvoice dan LivePay sebagai langkah memperkasakan perusahaan mikro.

 

Kedua-dua ciri berkenaan tidak memerlukan sebarang kos pengendalian sekali gus membantu melonjakkan pasaran media sosial dan jualan langsung (live selling).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Monster, Amanda Chin berkata, tanpa sebarang kos penyediaan awal, ciri eInvoice dan LivePay membolehkan perniagaan untuk menggunakan sistem pembayaran tahap profesional bagi memanfaatkan sepenuhnya pasaran dalam talian yang sedang berkembang.

 

Amanda Chin
Amanda Chin

 

"Melalui satu pautan yang mudah digunakan, perniagaan dapat memperoleh pembayaran daripada hampir semua platform dan sumber.

 

“Selain itu, mereka dapat menguruskan semuanya dari satu hab.

 

“Kami percaya ini penting dalam membantu mereka bukan sahaja dalam mempertahankan tetapi juga mengembangkan perniagaan dalam talian mereka,” katanya dalam sebuah kenyataan.

 

Tambah syarikat itu, menerusi penggunaan eInvoice, peniaga dapat mencipta dan kongsi pautan pembayaran sekali (one-off) kepada pelanggan tertentu dengan mudah di mana-mana platform sosial.

 

eInvoice
LANGKAH penggunaan eInvoice

 

Sementara itu, LivePay menghasilkan pautan pembayaran pelbagai guna (multi-use) yang sesuai untuk beberapa pembayaran serentak yang biasanya berlaku semasa penjualan secara langsung.

 

"Sekiranya anda ingin menyelesaikan transaksi sekali sahaja, masukkan maklumat yang diperlukan dan invois digital serta pautan pembayaran akan dibuat secara automatik. Anda kemudian boleh berkongsi pautan ini seperti yang anda mahukan, melalui e-mel, teks, WhatsApp, Instagram dan banyak lagi.

 

“Pelanggan anda akan dapat membayar dengan cara pilihan mereka dengan satu klik pautan yang mudah. Untuk penjualan langsung di Facebook, hanya tampal dan sematkan pautan LivePay di bahagian atas live stream anda dan pelanggan boleh menggunakan pautan tersebut untuk membeli pada bila-bila masa,” ujarnya lanjut.

 

Ciri eInvoice dan LivePay disatukan terus ke hab pedagang bersepadu Revenue Monster yang membolehkan pengguna mengesan pembayaran dalam waktu nyata dan menerima pemberitahuan bagi setiap pembayaran yang berjaya.

 

Platform Revenue Monster secara keseluruhannya telah membantu hampir 13,000 cawangan perniagaan dari 6,000 jenama antaranya makanan dan minuman, fesyen dan aksesori, perkakas rumah, kecantikan atau penjagaan diri serta kenderaan. - DagangNews.com